Kritik pakaian jururawat, Wan Razali digesa mohon maaf

Kor Ming (tengah) merasmikan Program Fiesta Teluk Intan: Komuniti Bandar Dekat Di Hati di Dataran Menara Condong pada Sabtu. - Foto Bernama
Kor Ming (tengah) merasmikan Program Fiesta Teluk Intan: Komuniti Bandar Dekat Di Hati di Dataran Menara Condong pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

TELUK INTAN - Naib Pengerusi DAP, Nga Kor Ming menggesa ahli Parlimen pembangkang Wan Razali Wan Nor memohon maaf kepada warga jururawat kerana mengkritik etika pemakaian uniform jururawat wanita yang didakwanya ketat dan tidak patuh syariah.

Kor Ming berkata Ahli Parlimen Kuantan daripada Pas itu sepatutnya memberikan buah fikiran bernas bagi meningkatkan mutu kesihatan awam dan bukannya memperlekeh pakaian golongan yang banyak berjasa itu.

"Kita sangat kecewa dengan pembangkang (kerana) gagal berikan hujah bernas bagi membantu sistem kesihatan, sebaliknya pakaian mereka dijadikan bahan kritikan dan kami sangat kesal dengan kejadian ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Kemampanan Komuniti Bandar: Fiesta Teluk Intan, Komuniti Bandar Dekat Dihati deka sini pada Sabtu.

Kor Ming yang juga Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan berkata, pemakaian uniform jururawat dan penjawat awam negara ini adalah mematuhi etika yang ditetapkan.

Menurutnya, kerajaan berdiri teguh bersama jururawat dan penjawat awam negara dan akan terus memberikan sokongan kepada golongan tersebut.

Wan Razali ketika membahaskan usul Kertas Putih Kesihatan di Dewan Rakyat, pada Rabu dilaporkan mempersoalkan etika pemakaian jururawat wanita di klinik dan hospital kerajaan, yang didakwa berpakaian ketat dan tidak patuh syariah.

Wan Razali menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) meneliti semula etika pemakaian jururawat wanita, termasuk mempertimbang keperluan memberi kelonggaran kepada pihak klinik dan hospital menentukan etika berpakaian yang sesuai. - Bernama