Kepimpinan Anwar naikkan kepercayaan AS terhadap Malaysia

Nazri (gambar kiri) memberitahu bahawa kepimpinan Anwar (gambar kanan) naikkan kepercayaan AS terhadap Malaysia. - Foto Bernama
Nazri (gambar kiri) memberitahu bahawa kepimpinan Anwar (gambar kanan) naikkan kepercayaan AS terhadap Malaysia. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Naik taraf kedudukan Malaysia ke Tahap 2 Pemerhatian bagi Laporan Pemerdagangan Orang 2023 oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat (JNAS) merupakan peningkatan positif.

Menurut Duta Malaysia di Amerika Syarikat, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, beliau percaya, ia disebabkan keyakinan negara berkenaan terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Justeru, peningkatan tahap itu merupakan satu pemangkin buat kerajaan untuk lebih strategik dan tegas dalam menangani sebarang isu salah laku atau penindasan.

"Laporan yang diumumkan pada 15 Jun 2023 di Washington DC telah mengiktiraf pencapaian signifikan yang direkodkan.

"Ini termasuk peningkatan bilangan penyiasatan, pendakwaan dan sabitan kes serta pendakwaan terhadap penjawat awam, peningkatan bilangan mangsa, pelaksanaan usaha peningkatan kesedaran di sektor perladangan sawit, peningkatan bilangan latihan dan juga peningkatan perkhidmatan perlindungan dan sokongan kepada mangsa pemerdagangan orang," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau juga menambah, kerajaan kini perlu tegas dengan memastikan mana-mana individu yang terlibat dengan salah laku tersebut dihukum.

Jelasnya, ia sejajar dengan gagasan Malaysia Madani yang dibawa Anwar.

"Pihak kedutaan akan terus memantau perbincangan ini di Amerika Syarikat serta pelaksanaan usaha kolektif Malaysia dalam memerangi jenayah pemerdagangan orang bagi memastikan cerminan pendirian negara adalah tepat di peringkat antarabangsa," tambah beliau.