IPTA perlu nilai risiko anjur aktiviti sosial termasuk konsert

Mohamed Khaled - Foto Bernama
Mohamed Khaled - Foto Bernama
A
A
A

KOTA TINGGI - Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di negara ini perlu melakukan penilaian risiko terhadap sebarang penganjuran aktiviti sosial termasuk konsert.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ia bagi memastikan pengisian program yang dijalankan tidak mencemarkan imej universiti awam.

"Soal anjur konsert bukan perkara baharu, kalau kita lihat setiap konvokesyen memang akan ada program-program seperti konsert. Tapi dalam konteks akhir-akhir ini oleh kerana ada insiden yang mungkin mencemarkan sedikit pengisian dalam konsert itu, maka saya telah minta universiti supaya lebih berhati-hati dalam hendak menganjurkan konsert dan diadakan penilaian risiko," katanya kepada pemberita selepas lawatan ke Felda Bukit Easter pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai penganjuran sebuah konsert di dalam dewan sebuah universiti awam di Terengganu yang melibatkan pencampuran mahasiswa lelaki dan perempuan serta video insiden itu turut tular di media sosial.

Selain itu, Mohamed Khaled berkata, beliau telah meminta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk menilai semula jenis atau jumlah pinjaman yang akan dikenakan kepada pelajar sekiranya sistem pembelajaran hibrid dan jadual anjal dilaksanakan.

Menurutnya, pembelajaran secara hibrid bukan diwajibkan sebaliknya sekadar satu pilihan selain pelajar boleh memohon belajar secara anjal yang hanya melibatkan subjek tertentu.

"Boleh mohon secara anjal tetapi ia hanya meliputi beberapa subjek yang sesuai dilakukan secara anjal. Bukan semuanya hanya dalam 90 bidang sahaja sesuai untuk dilakukan secara anjal... saya telah meminta supaya pihak PTPTN melihat sejauh mana perlu diubahsuaikan pinjaman," katanya.

Sebelum ini, Presiden Angkatan Mahasiswa Universiti Malaya (UM), Nur Nazirah Abdullah mencadangkan yuran IPTA dikurangkan 50 peratus sekiranya sistem pembelajaran hibrid dan jadual anjal dilaksanakan di semua universiti awam.

Sementara itu, Mohamed Khaled menasihatkan pelajar supaya membuat semakan terhadap tawaran melanjutkan pelajaran ke IPT yang diterima bagi mengelakkan penipuan.

"Suka untuk saya maklumkan bahawa universiti awam, kita belum lagi keluarkan apa-apa tawaran. Pihak Unit Pusat Universiti (UPU) masih lagi dalam proses permohonan yang dikemukakan dan bila sampai masa kita akan umumkan kita akan beritahu secara umum.

"Untuk universiti awam dan politeknik kita akan keluarkan secara rasmi kemudian. Kita masih lagi dalam proses untuk melakukan pemilihan pelajar-pelajar yang akan berjaya dan universiti mana yang dia akan ditempatkan," katanya. - Bernama