PRN: UMNO Johor akan hantar 2,000 ahli bantu kempen di NS

Ahmad Maslan
Ahmad Maslan
A
A
A

PONTIAN – UMNO Johor dijangka menghantar seramai 2,000 ahlinya yang akan bertindak sebagai jentera Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi Negeri Sembilan.

Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, meskipun Dewan Undangan Negeri (DUN) belum dibubarkan, namun UMNO Johor yang merupakan keluarga angkat kepada Negeri Sembilan sudah bersedia.

Katanya, kerja-kerja awal perlu dilakukan oleh setiap jentera daripada 26 bahagian UMNO Johor bagi memastikan keberkesanan kerja-kerja kempen.

"Sebagai contoh UMNO Bahagian Pontian merupakan ‘keluarga angkat’ kepada UMNO Bahagian Port Dickson yang diketuai oleh Datuk Faizal Ramli sebagai Ketua UMNO Bahagian.

“Begitu juga bahagian-bahagian UMNO yang lain telah mula mengatur majlis suai kenal dengan ‘keluarga angkat’ masing-masing bagi memudahkan gerak kerja dilakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Agama (SMA) Bugisiah, Tampok, Benut di sini, pada Sabtu.

Enam negeri yang akan berdepan PRN iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan tidak lama lagi.

DUN Kelantan akan dibubarkan pada 22 Jun diikuti Pulau Pinang pada 28 Jun, sementara negeri-negeri lain masih menunggu perkenanan daripada Sultan dan Yang di-Pertuan Besar.

Ahmad yang juga Ketua UMNO Bahagian Pontian menambah, konsep ‘keluarga atau bapa angkat’ telah dipraktikkan sebelum ini di beberapa PRN seperti di Melaka, Johor, Sabah dan Sarawak.

“Kita akan membekalkan maklumat kepada semua jentera pilihan raya yang akan digunakan bagi menyerang balas setiap isu yang dibangkitkan oleh pihak lawan nanti,” ujarnya.