Kilauan emas ke-12 gamit Azizulhasni

Azizulhasni meraih emas acara pecut individu elit lelaki ACC 2023 di Velodrom Nasional, Nilai pada Jumaat. - Foto Bernama
Azizulhasni meraih emas acara pecut individu elit lelaki ACC 2023 di Velodrom Nasional, Nilai pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

JAGOAN negara, Datuk Azizulhasni Awang semakin bersemangat menambah koleksi pingat emas pada Kejohanan Lumba Basikal Trek Asia (ACC) 2023 di Velodrom Nasional, Nilai, Negeri Sembilan.

Selepas berjaya menyambar emas acara pecut individu elit lelaki pada Jumaat, Azizulhasni tampak berada di momentum terbaik untuk meraih satu lagi kilauan emas menerusi acara kegemarannya, keirin.

Bagaimanapun, Azizulhasni tidak mahu terlalu meletakkan tekanan ke atas dirinya sendiri, sebaliknya bersedia dengan sebarang perancangan daripada ketua jurulatihnya, John Beasley.

“Sasaran saya sekurang-kurangnya satu pingat emas (pada ACC 2023) dan selepas ini keirin... anda semua tahu saya tak akan main-main, saya akan berusaha dengan penuh gigih.

“Saya sudah capai sasaran (selepas meraih emas acara pecut individu). Jadi tengoklah bagaimana perlumbaan Ahad ini... saya tak tahu perancangan John.

“Apapun saya ingin meraikan kejayaan ini dahulu dan selepas itu bincang mengenai perancangan Ahad ini. Nak menang, memang nak menang kerana keirin adalah acara kegemaran saya,” katanya.

Kejayaan meraih emas acara pecut individu itu menyaksikan Azizulhasni kini merekodkan 11 pingat emas ACC dalam koleksinya, sekali gus memahat legasinya yang tersendiri di pentas Asia.

Selain Azizulhasni, rakan sepelatihnya, Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang memburu gelaran sulung peribadinya pada ACC turut dijadualkan beraksi dalam acara keirin nanti.

Menurut Shah Firdaus, dia meletakkan sasaran awal mara sehingga peringkat final sebelum mencongak strategi baharu bersama Beasley dalam memburu kilauan pingat.

“Di final itu nanti, harap kita tak bagi tiga pelumba Jepun sampai ke final kerana kita tahu, kalau tiga daripada mereka di final, mereka akan lakukan taktikal tradisi mereka.

“Jadi kita kena 'pecahkan' mereka. Harapnya mereka tidak semua ke final kerana dalam keirin, semuanya adalah mengenai (strategi) taktikal,” ujarnya.