Individu ugut cederakan Mufti Perlis dicekup

Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Dr Mohd Asri Zainul Abidin
A
A
A

KANGAR - Individu yang mengugut untuk mencederakan sehingga parah Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dalam laman Facebook dua hari lalu ditangkap di Pulau Pinang, tengah malam tadi.

Ketua Polis Perlis, Datuk Noor Mushar Mohd berkata, suspek ditahan di rumahnya di Gelugor, Pulau Pinang kira-kira 12.30 tengah malam.

"Lelaki berumur 36 tahun yang bekerja sebagai kerani itu ditahan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis.

"Suspek direman empat hari bermula hari ini sehingga 6 Mei bagi membantu siasatan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Dua hari lalu, Mohd Asri membuat laporan di IPD Padang Besar selepas menerima mesej berbaur ancaman dan ugutan yang membahayakan dirinya dalam laman Facebook.

ARTIKEL BERKAITAN:Mufti Perlis lapor polis terima ugutan, ancaman

Mohd Asri menerima satu mesej di Facebook daripada individu menggunakan nama ‘Sandev Sandev’ kira-kira 6 petang dua hari lalu yang turut mengancam untuk memukulnya sehingga cedera parah.

Suspek turut memberi nombor telefon bimbit dan meminta Mohd Asri menghubunginya.

Artikel Berkaitan:

Noor Mushar berkata suspek turut meminta alamat Mohd Asri bagi membolehkannya memukul mufti itu. - Bernama