KPKT wujudkan jawatankuasa penempatan pegawai PBT

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Sebuah jawatankuasa di bawah Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) akan diwujubkan dalam melaksanakan penempatan pegawai pihak berkuasa tempatan (PBT) ke PBT yang lain.

Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) memaklumkan, ketetapan itu diputuskan pada Mesyuarat Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan Ke-80 (MNKT Ke-80) yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof pada Rabu.

Menurut kementerian itu, penempatan pegawai PBT ke kawasan PBT yang lain merupakan salah satu inisiatif kerajaan dalam memperkasa penyampaian perkhidmatan kerajaan tempatan, menambah baik tadbir urus, memperkukuh elemen integriti serta memberi peluang mobiliti selain meningkatkan pengalaman, akauntabiliti dan juga kredibiliti.

"Bagi memastikan pelaksanaan dibuat secara teratur dan seragam, kementerian telah menyediakan satu garis panduan umum sebagai rujukan kepada semua kerajaan negeri yang boleh dilaksanakan mengikut kesesuaian masing-masing.

"Pemakaian garis panduan itu juga tertakluk kepada persetujuan pihak berkuasa negeri," kata KPKT pada Jumaat..

Dalam pada itu, KPKT memaklumkan mesyuarat itu juga turut memperkukuh modal insan melalui pengiktirafan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) sebagai badan profesional yang mewakili kerajaan untuk mendapatkan Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) bagi bangunan yang dibina secara kaedah konvensional dalaman.

"Melalui inisiatif ini, arkitek JKR dan jurutera profesional JKR yang dilantik melalui surat lantikan Ketua Pengarah Kerja Raya (KPKR) boleh bertindak sebagai Orang Utama Yang Mengemukakan (PSP) dan Orang Yang Mengemukakan (SP) mewakili kerajaan bagi melaksanakan urusan mendapatkan kelulusan permit pembinaan daripada PBT sehingga pengeluaran CCC," kata kementerian itu.

Bagi memperincikan mekanisme dan proses berkaitan, KPKT berkata, satu garis panduan akan dibangunkan dengan pihak berkepentingan sebagai rujukan industri dan PBT.

Selain memperkasa modal insan dan mengiktiraf profesionalisme, kementeria itu berkata, inisiatif terbabit juga dapat memastikan projek bangunan kerajaan yang dilaksanakan oleh JKR mematuhi keperluan statutori dan mengurangkan beban kewangan kepada kerajaan berikutan tiada bayaran fi perundingan dibuat malah menggunakan penjawat awam sedia ada.

"Kerajaan Persekutuan bersama-sama dengan kerajaan negeri akan sentiasa bekerjasama dalam memperkasa modal insan seterusnya meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan bagi memastikan dasar, perundangan dan hal ehwal mengenai kerajaan tempatan berada pada tahap yang optimum," kata KPKT.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!