'Khairul Azwan tiada hak cadang hukuman kepada Tajuddin'

Faizal
Faizal
A
A
A

IPOH - UMNO Bahagian Pasir Salak tidak ada hak untuk mencadangkan sebarang hukuman kepada Lembaga Disiplin parti terhadap bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, Dr Faizal Tajuddin berkata, Lembaga Disiplin UMNO harus bebas daripada mana-mana pengaruh untuk menentukan sebarang hukuman dikenakan ke atas pemimpin yang didapati melanggar disiplin.

Menurutnya, dalam Perlembagaan UMNO, hanya Lembaga Disiplin sahaja yang boleh mencadangkan bentuk tindakan kepada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti setelah aduan yang diterima disiasat.

"UMNO Bahagian Pasir Salak tidak mempunyai locus standi untuk memberi apa-apa cadangan berhubung tindakan disiplin. Jadi kenyataan Khairul Azwan Harun (Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak) yang mahu memastikan rayuan Tajuddin tidak diterima parti amat tidak wajar.

"Setiap tuduhan yang dilemparkan perlu dikemukan dengan bukti, bukan sekadar andaian semata-mata," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Jelas Faizal, kenyataan itu juga memperlihatkan seolah-olah Khairul Azwan terlibat secara langsung di dalam keputusan penggantungan keahlian Tajuddin.

Pada Rabu, Sinar Harian melaporkan kenyataan Khairul Azwan yang mahu MKT UMNO untuk tidak menerima rayuan penggantungan keahlian Tajuddin kerana mendakwa bekas Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak itu berterusan memburukkan kepimpinan parti.

Dalam kenyataan itu juga, Khairul Azwan turut mahu memastikan rayuan Tajuddin tidak diterima oleh MKT UMNO.

Tajuddin pada 9 Jun lalu mendedahkan sudah menghantar tiga kali surat rayuan terhadap penggantungan keahliannya namun dipandang sepi.

Bagaimana pun dalam ucapan penggulungan sempena Perhimpunan Agung UMNO 2023, Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu sentiasa terbuka menerima kembali ahlinya yang dipecat mahupun digantung.