Penuntut IPT maut kemalangan tiga kenderaan

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

BATU PAHAT - Seorang penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) maut dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Kilometer (KM) 125.1 Lebuh Raya Utara Selatan dekat Yong Peng, pada Rabu.

Menurut Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah, kemalangan tersebut melibatkan sebuah kereta Perodua Bezza, sebuah lori treler jenis Scania dan sebuah kereta Proton Waja.

"Hasil siasatan awal mendapati, kemalangan dipercayai berlaku pada jam 7 malam Rabu, semasa kereta jenis Perodua Bezza dinaiki dua penuntut lelaki UTHM (Universiti Tun Hussein Onn Malaysia), Pagoh yang masing-masing berumur 20 tahun dan 21 tahun telah melanggar bahagian belakang lori treler jenis Scania yang dipandu oleh seorang lelaki berumur 28 tahun.

"Perlanggaran itu menyebabkan, kereta Perodua Bezza itu terbabas di penghadang tengah jalan sebelum sebuah kereta Proton Waja yang dipandu lelaki berusia 65 tahun yang datang dari arah yang sama (arah Johor Bahru menghala ke Kuala Lumpur), tidak sempat brek (menghentikan kenderaan) lalu turut terlanggar kereta Perodua Bezza tersebut.

"Akibatnya, penumpang hadapan kereta Perodua Bezza maut di tempat kejadian manakala pemandu lori treler mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Muar untuk rawatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Kes disiasat di bawah seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana melibatkan kematian oleh pegawai penyiasat trafik Inspektor Tong Siew Fen.

Mana-mana saksi awal yang terlihat semasa kejadian tersebut boleh terus berhubung dengan pegawai penyiasat di talian 07-4327704, bagi membantu siasatan.