Tuntutan Sulu tidak berasas, Malaysia negara berdaulat

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tuntutan Kumpulan Sulu terhadap Malaysia pastinya tidak akan berpihak kepada mereka kerana Malaysia sebuah negara berdaulat.

Pengerusi Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mohd Samsudin berkata, kedaulatan negara Malaysia tidak boleh dicabar mana-mana pihak kerana ia telah diiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semasa pembentukan Malaysia pada 1963.

Beliau berkata, di negara atau tanah jajahan mereka mungkin boleh berbuat demikian tetapi ini melibatkan sebuah negara yang berdaulat, maknanya dalam konteks perundangan antarabangsa memperuntukkan antara kerajaan dan kerajaan atau negara dan negara.

"Apabila pembentukan Malaysia, kita membuat Perlembagaan dan antara dalam kandungan yang penting adalah persempadanan, di situ wujudnya sebuah negeri Sabah... apabila kita membuat Perlembagaan dan membuat peta negara dan kita mengangkat ia sebagai sebuah negeri yang berdaulat.

Semasa pembentukan Malaysia (termasuk persempadanan Sabah), kita memohon kepada PBB menamakan negara baharu sebagai Malaysia dan menjelaskan sempadan baharu dan itu diterima PBB dan juga berdasarkan Konvensyen Vienna Mengenai Hubungan Diplomatik 1961," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu Ruang Bicara terbitan Bernama TV dengan topik "Sulu: Apa Selepas Ini?” malam Rabu.

Beliau berkata, tuntutan daripada lapan warga Filipina yang mendakwa kononnya sebagai waris Sultan Sulu terhadap Kerajaan Malaysia melalui proses timbang tara antarabangsa juga tidak berasas dan atas dasar kepentingan individu sahaja yang pastinya akan berakhir dengan kegagalan.

Ini kerana katanya, bidang kuasa Mahkamah Timbang Tara tidak meliputi sebuah negara yang berdaulat.

Pensyarah Kanan Bahagian Sejarah Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Norizan Kadir pula berkata, tindakan Kumpulan Sulu yang menuntut bayaran daripada Malaysia adalah melampau dan keterlaluan.

Mengulas keputusan Mahkamah Rayuan Paris yang memberi kemenangan besar kepada Malaysia, Norizan berkata, keputusan itu boleh digunakan sebagai duluan sekali gus mampu mempengaruhi keputusan di mahkamah di negara lain dalam tuntutan yang dikemukakan oleh Kumpulan Sulu itu.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, setakat ini, penuntut Sulu telah mengambil tindakan undang-undang terhadap Malaysia di empat buah negara iaitu Sepanyol, Perancis, Luxembourg dan Belanda dan Kerajaan Malaysia telah dan sedang mengambil pelbagai tindakan balas perundangan terhadap mereka.

Beliau menegaskan, hasil daripada usaha giat tersebut, Kerajaan Malaysia pada 6 Jun lepas telah menerima satu lagi berita baik apabila Mahkamah Rayuan Perancis membuat keputusan membatalkan Perintah Pelaksanaan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Paris pada 29 September 2021 yang mengiktiraf Preliminary Award yang dikeluarkan oleh Dr Gonzalo Stampa (penimbang tara) pada 25 Mei 2020.

Katanya, keputusan Mahkamah Rayuan Perancis itu satu kejayaan penting dan signifikan bagi Malaysia sekali gus membuktikan kesungguhan serta ketegasan Kerajaan Malaysia dalam mendepani isu itu.

Sebelum ini, kumpulan berkenaan dilaporkan mengambil tindakan undang-undang melalui proses timbang tara di Mahkamah Sepanyol untuk mendapatkan pampasan bagi tanah di Sabah, yang didakwa dipajak oleh nenek moyang mereka kepada syarikat perdagangan British pada 1878. - Bernama



ARTIKEL BERKAITAN:

Tuntutan sulu: Tindakan undang-undang terhadap pihak bersekongkol

http://Heret dalang di sebalik tuntutan waris Sulu ke muka pengadilan

Tuntutan Sulu: Tiada bukti kerajaan Filipina terlibat - PM