Lelaki dicekup curi jersi PSG

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

AMPANG - Tindakan seorang lelaki mencuri jersi kelab Paris Saint-Germain (PSG) di sebuah pusat beli-belah di sini mengundang padah selepas ditahan pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, kejadian itu disedari penolong pengurus premis terbabit kira-kira jam 7.20 petang selepas melihat lelaki itu mengambil sehelai jersi PSG dan Manchester United untuk dicuba di bilik persalinan.

Menurutnya, pekerja premis itu kemudian mendapati lelaki terbabit telah keluar dari bilik persalinan dan hanya membawa sehelai jersi Manchester United.

"Apabila suspek hendak keluar, pintu pengimbas keselamatan telah berbunyi kerana terdapat tag keselamatan pada baju tersebut.

"Pekerja premis terbabit telah menahan lelaki itu dan menjumpai sehelai jersi PSG bernilai RM299 di dalam beg galas yang dipakainya," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, suspek kemudian telah diserahkan kepada pihak polis.

Katanya, semakan mendapati suspek berusia 39 tahun itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian air kencing negatif dadah.

"Suspek telah direman empat hari sehingga 18 Jun untuk siasatan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan," ujarnya.