Pekerja gig digesa tubuh koperasi, lindungi kebajikan

Penubuhan koperasi juga berupaya membantu mempermudah pengurusan warga gig dari segi perkhidmatan servis, pembaikan dan pembiayaan motor. - Gambar hiasan
Penubuhan koperasi juga berupaya membantu mempermudah pengurusan warga gig dari segi perkhidmatan servis, pembaikan dan pembiayaan motor. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) menggesa pekerja sektor gig untuk menubuhkan koperasi bagi memastikan nasib mereka lebih terbela.

Timbalan Presidennya, Datuk Dr Abdul Rahman Abdul Razak berkata, dengan inisiatif tersebut, warga sektor berkenaan dapat menerima faedah yang lebih menyeluruh berikutan sifat inklusiviti koperasi dalam memenuhi keperluan sosial dan ekonomi anggotanya.

“Pekerja gig khususnya yang bekerja sebagai penghantar menyumbang secara signifikan dalam memenuhi keperluan masyarakat melalui penghantaran makanan dan barangan secara tersusun dan efisien dalam era digital ini.

“Namun mereka seringkali menghadapi cabaran yang meliputi ketidakstabilan dalam pekerjaan seperti kadar upah yang berubah-ubah dan tiada perlindungan sosial.

“Dalam hal ini koperasi dapat memberikan solusi dalam memperbaiki keadaan ini melalui penglibatan mereka dalam koperasi yang sememangnya ditubuhkan untuk mencukupi keperluan anggotanya,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika mengulas penerimaan cadangan penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid baru-baru ini menzahirkan persetujuan berhubung penubuhan SEGiM bagi menjaga kebajikan seluruh rantaian ekonomi bermula daripada penyedia perkhidmatan, pembekal, pekerja sehingga kepada pengguna.

Dalam pada itu, Abdul Rahman menambah, penubuhan koperasi itu juga berupaya membantu mempermudah pengurusan warga gig dari segi perkhidmatan servis, pembaikan dan pembiayaan motor.

Jelas beliau, sekiranya terdapat daripada kalangan mereka yang terkena musibah, satu tabung kecemasan menerusi badan tersebut dapat ditubuhkan.