Bapa reda hilang dua anak perempuan serentak

Zulkifli menunjukkan pesanan WhatsApp ketika berhubung kali terakhir dengan anak-anaknya sebelum dua daripada mereka maut dalam nahas melibatkan kereta dan lori minyak di Jalan Kuantan-Segamat, di sini pada tengah malam Selasa.
Zulkifli menunjukkan pesanan WhatsApp ketika berhubung kali terakhir dengan anak-anaknya sebelum dua daripada mereka maut dalam nahas melibatkan kereta dan lori minyak di Jalan Kuantan-Segamat, di sini pada tengah malam Selasa.
A
A
A

KUANTAN - Seorang bapa reda atas dugaan berat dihadapi selepas kehilangan dua anak perempuan serentak dalam nahas melibatkan kereta dan lori minyak di Jalan Kuantan-Segamat berhampiran persimpangan lampu isyarat Felda Lepar Hilir, di sini pada tengah malam Selasa.

Zulkifli Ismail, 58, berkata, dia bagaimanapun terkilan kerana tidak berpeluang bertemu kedua-duanya anaknya itu selepas kali terakhir bersua dengan mereka pada Aidilfitri lalu.

Anak bongsunya, Nur Alia Saffiyah, 18, dan anak kedua, Siti Mazurah, 30, beralamat dari Felda Lepar Hilir 1, di sini disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dalam nahas kira-kira jam 11 malam itu.

Zulkifli yang tinggal di Kluang, Johor selepas berpisah dengan ibu mangsa sejak lima tahun lalu berkata, dia dan anak-anaknya sentiasa berhubung bertanya khabar melalui WhatsApp.

Menurutnya, dia mempunyai enam anak perempuan hasil perkahwinan dengan bekas isterinya.

"Semua mereka tinggal bersama bekas isteri.

"Dua tiga hari lepas saya ada hubungi mereka untuk menjemput menghadiri satu majlis perkahwinan di Yong Peng, Johor dengan harapan dapat bertemu mata namun mereka beritahu tidak dapat hadir.

"Rasanya itu kali terakhir kami berhubung sehingga kira-kira jam 12 tengah malam tadi, saya terima panggilan dari anak ketiga dan keempat memberitahu Nur Alia Saffiyah dan Siti Mazurah meninggal dunia akibat kemalangan," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.

Zulkifli yang bekerja sebagai pemandu jentera berat berkata, semua anak perempuannya termasuk Siti Mazurah telah mendirikan rumah tangga kecuali Nur Alia Saffiyah.

"Saya dapat tahu, kemalangan itu berlaku ketika Nur Alia Saffiyah dalam perjalanan ke rumah selepas menjemput kakaknya pulang dari kerja di Gambang," katanya.

Katanya, jenazah dua anaknya itu dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Lepar Hilir 1 selepas selesai proses bedah siasat.