Rosmah mohon pasport lawat Nooryana di Singapura

Rosmah
Rosmah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Datin Seri Rosmah Mansor memohon untuk mendapatkan sementara pasportnya buat kali ketiga, di Mahkamah Rayuan Putrajaya dua minggu lalu, dengan alasan mahu melawat anak perempuannya, Nooryana Najwa Najib di Singapura.

Menerusi notis usul bertarikh 2 Jun lalu, isteri Datuk Seri Najib Tun Razak ini memohon dokumen perjalanan berkenaan diserahkan semula bagi tempoh sebulan iaitu bermula 6 Jun sehingga 7 Julai depan.

Dalam afidavit sokongan notis, wanita yang berusia 72 tahun ini berkata, permohonan untuk mendapatkan dokumen terbabit adalah teratur.

"Pihak pendakwaan juga tidak mempunyai bantahan terhadap permohonan saya.

“Atas rasa rendah diri, saya mohon kebenaran untuk mendapatkan pasport untuk digunakan sepanjang lawatan peribadi bagi melawat anak dan keluarganya di negara itu,” kata isteri bekas Perdana Menteri tersebut.

Rosmah berkata, akan membuat aku janji untuk menyerahkan pasport itu kepada mahkamah dengan secepat mungkin atau selewat-lewatnya seminggu selepas pulang dari Republik itu.

Mengikut rekod mahkamah, pendengaran prosiding permohonan ini akan dijalankan di Mahkamah Rayuan, pada Khamis.

Pada 2021 lalu, Rosmah dibenarkan untuk mendapatkan semula pasport buat sementara waktu, selepas Mahkamah Tinggi di sini membenarkan permohonan bagi membolehkannya ke Singapura.

Untuk rekod, passport Rosmah berada dalam simpanan mahkamah sejak 2018, selaras dengan syarat ikat jamin yang dikenakan pada hari pendakwaan kes rasuah berkaitan projek tenaga solar di Sarawak.

Beliau didapati bersalah atas tiga tuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak dan menjatuhi hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan (kini Hakim Mahkamah Rayuan) memerintahkan Rosmah dipenjara 30 tahun jika gagal membayar denda itu, tetapi membenarkan permohonannya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuannya yang akan didengar Mahkamah Rayuan pada 11 hingga 14 Julai ini.