Agensi pembiayaan pendidikan disaran naikkan ESH

Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Chamil
Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Chamil
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keputusan kerajaan menaikkan kadar Elaun Sara Hidup (ESH) pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi peringkat persediaan hingga Ijazah Lanjutan di dalam dan luar negara, amat dialu-alukan dan diharap dapat diikuti oleh agensi pembiayaan pendidikan lain bagi membantu meringankan kos sara hidup pelajar.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia, Datuk Chamil Wariya berkata, agensi pembiayaan pendidikan seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA) serta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) diharap dapat mengikut langkah yang sama.

"Dari segi amaun RM100 yang dinaikkan sememangnya tidak cukup tetapi saya percaya bantuan tersebut membantu mengurangkan kesulitan kewangan yang dihadapi pelajar,” katanya kepada Bernama pada Rabu.

Namun Chamil berkata, terpulanglah kepada kebijaksanaan pelajar tajaan tersebut dalam menguruskan kewangan mereka.

Bagi seorang pelajar tajaan JPA, Muhammad Azib Zikry Abdul Halim dari jurusan Komunikasi Massa Kewartawanan, Universiti Teknologi MARA berkata, beliau gembira dengan kenaikan ESH, meskipun penambahan tidak berapa signifikan melihatkan kepada keadaan ekonomi semasa terutamanya pelajar yang tinggal di kawasan bandar.

"Bagaimanapun ia membantu, tapi cuma saya tak pasti RM100 sebulan tu bersamaan (kenaikan) RM600 satu semester selama enam bulan kerana tajaan dalam negara dapat bayaran sekali dalam satu semester.

"Jika RM100 sahaja untuk keseluruhan semester ia tak berbaloi, lebih kurang sama,” katanya.

Bagi pelajar tajaan JPA dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Siti Sarah Izhan Khalib, 21, pelajar tahun dua Ijazah Teknologi Maklumat, beliau berkata, tambahan ESH RM100 setiap bulan akan banyak membantu dari segi duit makan harian dan perbelanjaan barang keperluan bulanan.

Pelajar tahun dua Perubatan UKM, S.Thiruthanigesh berkata, sebagai pelajar di kampus perubatan di Cheras yang terletak di Lembah Klang, kos sara hidup agak tinggi berbanding institusi pengajian tinggi awam yang lain.

"Jadi peningkatan ini adalah satu perkara yang baik bagi pelajar fakulti perubatan UKM,” katanya.

Kenaikan kadar ESH ini melibatkan pertambahan implikasi kewangan dengan anggaran RM52.03 juta bagi tempoh enam bulan mulai Julai ini, yang akan memanfaatkan 43,595 pelajar tajaan JPA. - Bernama