Lelaki didenda RM200,000 rasuah pegawai TNB

Ai Sing mengaku bersalah merasuah pegawai TNB di Mahkamah Sesyen Ipoh di sini pada Selasa.
Ai Sing mengaku bersalah merasuah pegawai TNB di Mahkamah Sesyen Ipoh di sini pada Selasa.
A
A
A

IPOH - Seorang lelaki didenda RM200,000 selepas mengaku bersalah atas dakwaan memberi rasuah kepada pegawai Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Mahkamah Sesyen Ipoh di sini pada Selasa.

Tertuduh, Ding Ai Sing, 51, melakukan kesalahan itu pada 28 Februari 2022, jam 10.45 pagi di dalam bilik sebuah hotel di sini dengan memberikan wang rasuah berjumlah RM126,500 kepada pegawai TNB berkenaan melalui orang tengah.

Mengikut pertuduhan, perbuatan itu dilakukan sebagai balasan supaya pihak TNB tidak mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas pengusaha premis yang disyaki dengan curang mengambil elektrik untuk menjalankan aktiviti melombong bitcoin.

Pertuduhan dikenakan di bawah Seksyen 16(b)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan dibaca bersama pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 214 Kanun Keseksaan.

Ai Sing yang faham terhadap pertuduhan yang dibacakan kemudiannya membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan pilihan iaitu Seksyen 214 Kanun Keseksaan.

Hakim Ahmad Kamar Jamaludin menetapkan hukuman denda RM200,000 terhadap tertuduh dengan penjara selama 12 tahun jika gagal membayar denda berkenaan bagaimana pun tertuduh membayar denda berkenaan.

Selain itu, mahkamah turut membenarkan permohonan SPRM untuk melucut hak terhadap wang tunai berjumlah RM1.49 juta, empat buah telefon bimbit iPhone 12 Pro Max serta 514 set mesin melombong bitcoin bagi tujuan pelupusan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Maziyah Mansor manakala tertuduh diwakili peguam, Nur Ashiqeen Mohd Sultan.

TAMAT