Tiga beranak cedera dihempap dinding runtuh

Anggota bomba memberikan rawatan awal kepada mangsa terlibat dalam kejadian di Jalan Sungai Pusu, Kampung Pinggiran, di sini pada Selasa.
Anggota bomba memberikan rawatan awal kepada mangsa terlibat dalam kejadian di Jalan Sungai Pusu, Kampung Pinggiran, di sini pada Selasa.
A
A
A

GOMBAK - Seorang lelaki parah manakala isteri dan anak lelakinya cedera ringan selepas dinding rumah yang didiami mereka runtuh dalam kejadian di Jalan Sungai Pusu, Kampung Pinggiran, di sini pada Selasa.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, kejadian melibatkan dinding rumah yang sedang dalam pembinaan.

Menurutnya, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan berkaitan kejadian pada jam 2.35 petang.

"Kejadian melibatkan mangsa seorang lelaki berumur 35 tahun, wanita, 30, dan kanak-kanak lelaki berumur dua tahun.

"Dinding rumah yang dalam pembinaan dipercayai runtuh sebelum menghempap kesemua mangsa terlibat," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Katanya, seorang mangsa cedera parah manakala dua lagi mangsa cedera ringan.

"Pihak bomba memberi rawatan awal kepada semua mangsa terlibat sebelum diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut," katanya.