Khazanah tidak jual aset kompleks Iskandar Malaysia Studios

Steven Sim - Foto Bernama
Steven Sim - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) tidak pernah menjual aset kompleks produksi filem dan televisyen, Iskandar Malaysia Studios sebaliknya hanya menjual saham dalam syarikat pengendali operasi studio tersebut.

Timbalan Menteri Kewangan II, Steven Sim Chee Keong berkata, studio berkeluasan 19.8 hektar (49 ekar) di Iskandar Puteri, Johor itu masih dimiliki Khazanah melalui anak syarikat bertujuan khas (SPV), Tanjung Bidara Ventures Sdn Bhd.

Beliau berkata, Khazanah mengambil keputusan untuk menjual saham dalam syarikat pengendali operasi studio iaitu Iskandar Malaysia Studios Sdn Bhd (IMS) untuk mencari rakan kongsi baharu yang dapat mengendalikan operasi studio berkenaan dengan lebih baik.

"IMS menghadapi cabaran dari segi kemampanan kewangan dan ia diburukkan lagi dengan kesan kepada industri perfileman akibat pandemik Covid-19.

"Sekiranya Khazanah kekal sebagai pemegang saham IMS, Khazanah harus terus menyalurkan sokongan kewangan kepada IMS dengan anggaran kerugian sehingga RM14 juta setiap tahun,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau menjawab soalan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (PN-Kuala Kangsar) yang meminta penjelasan mengenai rasional penjualan studio tersebut.

Susulan penjualan pemilikan dalam syarikat pengendali studio itu, Steven berkata, Khazanah telah memilih Studio Management Services Sdn Bhd (Studio Management Services) sebagai rakan kongsi baharu selepas melalui proses Request for Proposal (RFP).

Studio Management Services merupakan sebuah konsortium yang dipimpin oleh pasukan pengurusan tempatan IMS dan rakan kongsi serantau, GHY Culture & Media Holding Co. Limited dan anak syarikatnya, GHY Culture & Media (Malaysia) Sdn Bhd (GHY) yang merupakan sebuah syarikat kumpulan media yang terkemuka dalam industri hiburan Asia dan tersenarai di Bursa Saham Singapura.

"Pada masa ini, Perjanjian Jual Beli Saham telah ditandatangani oleh kedua-dua pihak dan menunggu syarat duluan (Conditions Precedent) dimuktamadkan,” kata Steven.

Steven berkata, berikutan urus niaga tersebut, Khazanah akan menerima hasil penjualan saham syarikat pengendali operasi studio tersebut sebanyak RM32 juta serta anggaran bayaran sewa sehingga tahun 2036 berjumlah RM26 juta.

Studio Management Services dijangka berpotensi menjana pendapatan berjumlah RM800 juta dalam tempoh lima tahun melalui kemasukan produksi baharu ke studio berkenaan.

"Hasilnya, lebih banyak peluang pekerjaan dapat disediakan dalam ekosistem studio tersebut serta membawa impak positif kepada ekonomi setempat,” katanya. - Bernama