PRN: PDRM kenal pasti 190 kawasan panas di 6 negeri

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis telah mengenal pasti 190 lokasi yang dikategorikan sebagai kawasan panas di enam negeri terlibat dengan Pilihan Raya Negeri (PRN), kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, Selangor memiliki kawasan panas tertinggi iaitu sebanyak 70 lokasi, diikuti Terengganu (66), Kedah (20), Negeri Sembilan dan Kelantan masing-masing 16, serta dua lokasi di Pulau Pinang.

Bercakap kepada pemberita pada sidang media selepas program lawatan hospital sempena peringatan Hari Polis ke-216 2023 di Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, Cheras hari ini, beliau berkata, lokasi berkenaan dikategorikan sebagai kawasan panas kerana dilihat berpotensi untuk tercetusnya provokasi yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.

Justeru bagi memastikan kelancaran PRN, beliau berkata, polis melancarkan Op PRN 6N yang akan memfokuskan kepada aspek keselamatan pengundi, tempat pengundian dan tempat penjumlahan undi.

Acryl Sani berkata, bagi pengundian awal di enam negeri tersebut, ia akan membabitkan 93,833 warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM). - Bernama