ACC medan terbaik kumpul mata Olimpik

Azizulhasni (kiri) dan Shah Firdaus menjadi sandaran negara dalam saingan ACC di Nilai bermula Rabu. - Foto Agensi
Azizulhasni (kiri) dan Shah Firdaus menjadi sandaran negara dalam saingan ACC di Nilai bermula Rabu. - Foto Agensi
A
A
A

KEJOHANAN Lumba Basikal Asia (ACC) 2023 di Velodrom Nasional, Nilai, Negeri Sembilan yang bermula Rabu hingga 19 Jun ini menjadi medan terbaik buat pelumba Malaysia mengumpul mata bagi melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill berkata, barisan pelumba negara khususnya Datuk Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom harus mengambil peluang di depan mata mereka.

“Untuk makluman, ACC adalah satu kejohanan di peringkat benua yang cukup penting. ACC merupakan kejohanan kedua terbesar selepas Kejohanan Dunia di Glasgow tahun ini buat para pelumba mengutip mata kelayakan Sukan Olimpik.

“Jadi sudah tentu setiap pelumba yang bertanding pada ACC kali ini mahu mengutip mata untuk menempatkan diri mereka pada kedudukan yang lebih baik menjelang Sukan Olimpik Paris tahun depan.

“Bagi pelumba Malaysia pula, pastinya kita menyandarkan harapan kepada Azizulhasni dan Shah Firdaus untuk mengutip mata yang boleh bagi mencerahkan peluang mereka layak ke Olimpik,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Atas kertas, Azizulhasni dan Shah Firdaus sekali lagi menjadi sandaran terbaik skuad berbasikal trek negara beraksi di pentas Sukan Olimpik selepas mereka tampil bersama pada edisi 2020 di Tokyo, Jepun.

Malah, Azizulhasni yang turut membuat penampilan pada edisi 2008 di Beijing, China; 2012 di London dan 2016 di Rio, Brazil menjadi antara prospek Malaysia dalam menyumbang pingat emas sulung Sukan Olimpik di bumi Paris nanti.

Untuk rekod, Azizulhasni yang terkenal dengan gelaran The Pocket Rocketman meraih pingat gangsa acara keirin di Rio sebelum pelumba berusia 35 tahun itu menyambar kilauan perak dalam acara sama di Tokyo dua tahun lalu.

Dalam pada itu, Amarjit berkata, Azizulhasi dan Shah Firdaus dijangka mendapat saingan sengit daripada barisan pelumba dari negara kuasa Asia seperti Jepun, Korea Selatan dan China pada ACC kali ini.

“Apapun saya percaya Azizulhasni dan Shah Firdaus akan memanfaatkan peluang mereka beraksi di tempat dan di hadapan penyokong mereka sendiri untuk mengutip mata kelayakan Olimpik Paris.

“Berbekalkan sokongan daripada penyokong, saya yakin Azizulhasni dan Shah Firdaus mampu merealisasikan sasaran yang telah ditetapkan oleh ketua jurulatih, John Beasley pada kejohanan kali ini.

“Apatah lagi, Azizulhasni sendiri telah menyatakan impiannya untuk mencipta legasi pada ACC kali ini. Jadi ini peluang terbaiknya untuk memahat sejarah baharu selain memburu tempat ke Sukan Olimpik Paris,” katanya.