Ka Siong tepis dakwaan tidak bertanggungjawab letak jawatan

Wee Ka Siong
Wee Ka Siong
A
A
A

SHAH ALAM- Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menepis dakwaan sesetengah pihak yang menuduh beliau lari daripada tanggungjawab kerana tidak melatih bakat baharu sebagai pemimpin parti.

Menurut Ahli Parlimen Ayer Hitam itu, hakikatnya, beliau sedaya upaya melahirkan, mencungkil dan mempromosikan bakat-bakat baharu, iaitu pelapis MCA yang muda serta berwibawa.

Beliau berkata, buktinya 10 orang muka baharu daripada keseluruhan 15 calon MCA telah dicalonkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang lalu.

"Ini menunjukkan komitmen parti dalam memberi ruang dan peluang luas kepada akar umbi khususnya pelapis MCA," katanya menerusi laman Facebook pada Isnin.

Semalam, Ka Siong meletak jawatan sebagai Pengerusi MCA Bahagian Johor Bahru dan tidak akan bertanding untuk mempertahankannya dalam pemilihan parti kali ini.

Tambah Ka Siong, sepanjang pemilihan parti MCA di peringkat bahagian dan cawangan baru-baru ini, terdapat banyak perubahan berlaku.

"Ramai pemimpin atau penyandang mengambil keputusan berundur dan memberi laluan kepada muka-muka baharu, ini bukan hanya berlaku di MCA Bahagian Johor Bahru sebaliknya di seluruh negara.

"Ia adalah sesuatu yang baik, demokrasi dalam parti kekal subur dan segar," ujarnya.

Beliau turut memberi penjelasan berhubung tanggapan salah kononnya tidak boleh bertanding bagi merebut jawatan dalam parti sekiranya bukan lagi Pengerusi MCA Bahagian.

"Ini tidak benar. Mengikut perlembagaan parti, sebagai penyandang Ahli Jawatankuasa Pusat, saya juga secara automatik merupakan perwakilan pusat.

"Selain itu, saya juga telah dipilih sebagai salah seorang daripada 16 perwakilan pusat di bawah MCA Bahagian Johor Bahru. Justeru, ini melayakkan saya bertanding semula bagi jawatan Presiden MCA untuk tempoh satu penggal lagi.

"Diharapkan dengan penjelasan ini, ia dapat merungkai segala kekeliruan berhubung keputusan beliau melepaskan jawatan sebagai Pengerusi MCA Bahagian Johor Bahru," jelasnya.