Harimau Malaya buru keputusan positif

Pan-gon ketika mengendalikan sesi latihan Harimau Malaya di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Kuala Nerus, Terengganu.
Pan-gon ketika mengendalikan sesi latihan Harimau Malaya di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Kuala Nerus, Terengganu.
A
A
A

PENGENDALI Harimau Malaya, Kim Pan-gon mahu para pemainnya melakar keputusan positif dalam dua aksi persahabatan menentang Kepulauan Solomon (14 Jun) dan Papua New Guinea (20 Jun) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Kuala Nerus, Terengganu.

Menurutnya, perlawanan menentang dua pasukan yang memiliki kekuatan berbeza selain lebih baik dari segi fizikal untuk menguji pasukan negara sebagai persiapan ke Piala Asia 2023.

“Kem pada Jun ini kami menjemput dua pasukan dari Oceania. Ia berbeza dari Asean dan mereka agak baik dari segi fizikal.

“Saya mahu melihat bagaimana kami dapat menguasai permainan selain ujian baik untuk pasukan. Apa yang penting saya mahu melihat kemenangan dan mahu memberikan keputusan yang bagus kepada para penyokong,” katanya.

Pan-gon turut menegaskan dua pasukan itu bukan sekadar ‘tangkap muat’ sebaliknya percaya mampu memberikan tentangan kepada para pemain negara.

“Kami memang menjemput satu pasukan di ranking yang lebih baik dan satu ranking bawah kami dalam aksi persahabatan kali ini.

“Ini dalam perancangan selain strategi untuk memberi keyakinan kepada para pemain, bermain di tempat sendiri sudah pastinya saya mahukan kemenangan dalam dua pertemuan itu,” katanya.

Sebagai rekod, Kepulauan Solomon berada di ranking ke-134 dunia manakala Papua New Guinea ranking ke-159 berbanding Malaysia yang ketika ini di kedudukan 138.

Dalam pada itu, Pan-gon mengesahkan khidmat penyerang, Haqimi Azim Rosli terpaksa digugurkan akibat masalah kesihatan.

“Sehingga malam semalam kami memantau Haqimi, namun tidak nampak peningkatan.

“Jadi saya fikir atas sebab rawatan perubatan dia digugurkan daripada pasukan. Setakat ini, semua orang (pemain lain) dalam keadaan baik,” katanya.

Kem latihan pusat kali ini, Pan-gon mengekalkan seramai 17 daripada 27 pemain yang dipanggil pada kem terdahulu di Johor Bahru, Johor pada Mac lalu.