Kerajaan Selangor perlu dikekalkan - PM

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Amanat Perdana Menteri Bersama Penjawat Awam Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz. - Foto Bernama
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Amanat Perdana Menteri Bersama Penjawat Awam Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Perpaduan di Selangor perlu dikekalkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kerana prestasi dan komitmennya dalam menyelamatkan negeri serta negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Selangor merupakan antara negeri yang mencatatkan kemajuan terbaik dalam negara selain Sarawak.

"Saya betul-betul berharap kepada saudara-saudara (penjawat awam) di Selangor. Ini kubu kita dan Selangor kubu Kerajaan Perpaduan.

"Dan untuk apa sokong, sekadar kekalkan kerajaan yang ada? Tidak, kita sokong kerana kita tahu pertama prestasinya, kita tahu komitmen untuk menyelamat negeri dan negara kita.

"Jadi saya harap saudara-saudara faham keperluan kita pertahankan (Selangor)," katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Khas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim Kepada Penjawat Awam Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak, Sultan Abdul Aziz Shah di sini pada Isnin.

Beliau menambah, sokongan terhadap kerajaan negeri juga bukan kerana sentimen atau upah diberikan sebaliknya Selangor mencatatkan banyak kemajuan di bawah kerajaan sedia ada.

"Sudah saya terangkan bukan kerana sentimen, bukan kerana saya jamin upah, tidak, kerana saudara yakin negeri ini mencatatkan kemajuan selain daripada Sarawak yang terbaik, kita harus pertahankan," katanya.