Anwar ucap takziah atas pemergian Mother Mangalam

Anwar
Anwar
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang Presiden Seumur Hidup Pure Life Society Datin Dr Mother A. Mangalam yang meninggal dunia, Sabtu lepas.

"Pure Life Society adalah badan yang menjadi tempat berteduh buat anak-anak yatim dan kumpulan masyarakat yang melarat.

"Rakyat Malaysia pasti akan mengenang budi dan jasa baik beliau terutamanya dalam persoalan kemanusiaan,” kata Anwar menerusi ciapan di Twitter.

Menurut laporan media, Mother Mangalam meninggal dunia pada usia 97 tahun selepas mendapat rawatan di Hospital Assunta, Petaling Jaya.

Dilahirkan di Singapura pada 1926, Mother Mangalam yang mendapat julukan sebagai ‘Mother Teresa of Malaysia’ berhijrah ke Kuala Lumpur pada 1948 dan bekerja sebagai guru sebelum menyertai badan bukan kerajaan itu setahun kemudian.

Pure Life Society ditubuhkan pada 1949 oleh Swami Satyanandaji bagi menguruskan kebajikan anak yatim yang menempatkan antara lain kanak-kanak terbiar dan mereka yang ibu bapa telah bercerai. - Bernama.