Jemaah haji wanita meninggal dunia

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

Makkah - Seorang jemaah haji wanita berusia 57 tahun dari Raub Pahang meninggal dunia di Makkah pada 4 Jun lalu disebabkan kegagalan jantung.

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, jemaah haji itu dimasukkan ke Pusat Rawatan Tabung Haji (TH) Makkah untuk rawatan lanjut pada jam 9 malam sebelum meninggal dunia jam 11.50 malam.

“Jenazah Allahyarham diuruskan dan disembahyangkan di Masjidil Haram selepas solat Zohor dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Syariee, Makkah,” katanya.

“Allahyarham tiba melalui penerbangan KT05 di Madinah pada 22 Mei lalu bersama suaminya dan berada selama enam hari di Madinah sebelum bertolak ke Makkah,” katanya pada sidang media mingguan di Ibu Pejabat TH Makkah di Abraj Janadriyah.

Beliau berkata, pihak kaunselor TH telah melawat suami Allahyarham yang juga berada di Makkah untuk menunaikan haji, selain TH akan menguruskan badal haji untuk Allahyarham.

Dalam pada itu, kata beliau, ketika ini seramai 37 jemaah haji sedang dirawat di Pusat Rawatan TH di Makkah manakala 10 lagi di Hospital Arab Saudi.

Jemaah yang dimasukkan ke Pusat Rawatan TH dan Hospital Arab Saudi disebabkan oleh masalah pernafasan, jangkitan paru-paru, masalah jantung, gangguan emosi, sakit kulit, sakit otot dan sendi.

Syed Saleh turut menasihatkan jemaah haji supaya terus menjaga kesihatan dan tidak terlalu terdedah dengan memandangkan cuaca panas di Makkah pada ketika ini.

Sementara itu katanya, seramai 22,800 atau hampir 72 peratus daripada 31,600 jemaah haji negara telah berada di Makkah sehingga Ahad.