Warga emas, cucu cedera kereta rempuh kedai stesen minyak

Kereta jenis Hyundai Sonata dipandu warga emas merempuh kedai serbaneka sebuah stesen minyak di Bukit Rambai, pada malam Ahad.
Kereta jenis Hyundai Sonata dipandu warga emas merempuh kedai serbaneka sebuah stesen minyak di Bukit Rambai, pada malam Ahad.
A
A
A

MELAKA - Seorang warga emas bersama dua cucunya berdepan detik cemas apabila kereta dipandunya merempuh kedai serbaneka di stesen minyak Jalan Bukit Rambai, di sini pada malam Ahad.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kejadian kira-kira jam 7 malam itu berlaku selepas lelaki berusia 69 tahun itu selesai mengisi minyak kereta, yang dinaiki bersama dua cucunya berusia 13 dan 12 tahun.

Keadaan kedai serbaneka selepas dirempuh kenderaan itu.
Keadaan kedai serbaneka selepas dirempuh kenderaan itu.

“Selesai sahaja mengisi minyak, warga emas itu secara tiba-tiba tertekan pedal minyak mengakibatkan kereta jenis Hyundai Sonata dipandunya terbabas sebelum merempuh kedai serbaneka stesen minyak berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini, pada Isnin.

Jelas beliau, tiga beranak itu bagaimanapun hanya mengalami kecederaan ringan dan kejadian itu tidak melibatkan pelanggan lain mahupun pekerja di situ.

"Mereka dibawa ke hospital oleh anaknya yang tiba di tempat kejadian selepas dimaklumkan mengenai insiden tersebut.

"Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian sudah diperoleh dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (1987)," katanya.