Ada peningkatan, perlu lebih fokus - Rexy

Aaron-Wooi Yik ketika menggalas cabaran negara di Terbuka Singapura.
Aaron-Wooi Yik ketika menggalas cabaran negara di Terbuka Singapura.
A
A
A

PENGARAH Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky mengakui terdapat peningkatan dipamerkan beregu negara di Terbuka Singapura 2023.

Biarpun menegaskan tidak berpuas hati apabila dua wakil negara terkandas di separuh akhir, namun Rexy menyifatkan para pemain menampilkan persembahan baik terutama gandingan pasangan beregu lelaki utama, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

“Persembahan semua pemain ok dan terdapat peningkatan, cuma mereka hanya perlu mengurangkan unforce errors dalam keadaan perlawanan getir.

“Aaron dan Wooi Yik juga menunjukkan peningkatan namun, mereka harus analisis persembahan setiap pusingan, fokus dan bermotivasi untuk bergelar juara,” katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad.

Dalam aksi di Stadium Tertutup Singapura itu, dua wakil beregu negara mara ke separuh akhir menerusi Aaron-Wooi Yik dan pasangan beregu campuran Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.

Namun cabaran Aaron-Wooi Yik berakhir apabila tewas kepada wakil China, Liang Wei Keng-Wang Chang 21-16, 15-21 dan 17-21.

Tang Jie-Ee Wei pula tunduk kepada pasangan Jepun yang juga pilihan kedua, Yuta Watanabe-Arisa Higashino 17-21, 22-24 dalam aksi masa 39 minit.

Dalam pada itu, Aaron mengakui kehilangan fokus menjadi punca mereka tewas walaupun mendahului menerusi kemenangan di set pertama.

“Saya rasa mungkin waktu permainan set penentuan terutamanya ketika mata penting apabila kita kejar 15-15, 16-16. Kami ketika waktu mata penting mungkin terlalu fikir banyak.

“Kami akan cuba memperbaiki gaya permainan selepas ini dengan melupakan apa yang terjadi dan jadikan kekalahan ini sebagai rujukan pada masa depan.

“Ini kerana Terbuka Indonesia selepas ini lebih penting dan besar yang kami akan berusaha memberikan aksi yang terbaik,” katanya.