KJ kongsi 'respons' Maulizan, letak tiga simbol api

Laporan Sinar Harian pada Ahad.
Laporan Sinar Harian pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkongsi laporan berita kenyataan bekas Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang berhubung kesediaan UMNO meneliti rayuan ahli yang dikenakan tindakan disiplin.

Tanpa sebarang reaksi bertulis, bekas Menteri Kesihatan itu hanya meletakkan tiga simbol api pada perkongsian di story Instagramnya.

Menerusi laporan berkenaan, Maulizan mempersoalkan keterbukaan UMNO menerima kembali ahli yang dikenakan tindakan disiplin iaitu dipecat atau digantung daripada parti.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tiram itu menegaskan rayuan yang perlu dibuat seakan tidak wajar memandangkan proses penggantungan yang dibuat ke atasnya sebelum ini tidak dibuat mengikut prosedur.

Respon Maulizan adalah susulan daripada kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika Perhimpunan Agung UMNO (PAU) bahawa Lembaga Disiplin UMNO akan meneliti kesemua rayuan yang dikemukakan oleh ahli-ahli parti itu yang dikenakan tindakan disiplin.

Bagaimanapun hanya rayuan daripada mereka yang digantung akan diterima.