Gantung keahlian UMNO tidak ikut prosedur - Maulizan

Maulizan
Maulizan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Bekas Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang mempersoalkan keterbukaan UMNO menerima kembali ahli yang dikenakan tindakan disiplin iaitu dipecat atau digantung daripada parti.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN) Tiram itu menegaskan rayuan yang perlu dibuat seakan tidak wajar memandangkan proses penggantungan yang dibuat ke atasnya sebelum ini tidak dibuat mengikut prosedur.

"Kenapa perlu buat rayuan jika proses penggantungan dan pemecatan dibuat tidak mengikut procedur?," Saya tidak pernah dipanggil oleh Lembaga Displin parti sebelum digantung.

"Saya menjadi ahli UMNO dan aktif semenjak umur saya 17 tahun dan amat menyayangi parti UMNO yang banyak berjasa kepada agama, bangsa dan negara.

"Saya tidak pernah khianat atau sabotaj parti malah bertungkus lumus nak memenangkan parti dalam setiap Pilihan Raya Kecil (PRK), Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Negeri (PRN)," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Pada 27 Januari lalu, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dilaporkan menggantung keahlian Maulizan selama enam tahun serta tiga lagi pemimpin.

Mereka ialah Ahli Parlimen Sembrong yang juga bekas Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, bekas Ketua Penerangan, Shahril Sufian Hamdan dan Ketua UMNO Bahagian Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Sharif.

Sementara, bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Tan Sri Noh Omar dan bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar turut dipecat UMNO berikutan pelanggaran disiplin sewaktu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Menurut Maulizan, kebanyakan nama besar yang dipecat dan digantung adalah kerana tidak sehaluan dengan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Pemecatan serta penggantungan adalah untuk membolehkan Presiden UMNO, menang tanpa bertanding dalam pemilihan parti dan menggunakan PAU untuk menyokong hasrat Presiden.

"Bagaimanapun, isu pokok yang melanda UMNO masa kini ialah soal kepimpinan yang ditolak rakyat dan majoriti ahli UMNOserta orang Melayu ekoran keputusan keputusan yang dibuat tidak selari dengan kehendak mereka," katanya.

Tambah Mualizan lagi, Kepimpinan UMNO juga dilihat gembira dengan terus menjadikan UMNO sebagai penumpang dalam kerajaan apabila Presiden UMNO sokong kerajaan yang terdiri daripada DAP dan PKR yang lebih dominan dalam kerajaan.

"Sebilangan besar orang Melayu juga tidak boleh menerima kehadiran DAP yang masih angkuh apabila tidak mahu memohon maaf kepada orang Melayu atas apa yang dilakukan sepanjang lebih 60 tahun terhadap orang Melayu terutamanya peristiwa 13 Mei 1969 apatah lagi perjuangan menuntut hak kesamarataan yang masih didokong hingga sekarang.

"Saranan Pemuda UMNO juga ditolak mentah mentah oleh Presiden kerana Presiden seolah olah menjadi jurucakap DAP," jelasnya.

Maulizan memberitahu UMNO kini menjadi semakin lemah apabila orang Melayu mula merasakan UMNO kehilangan identiti sebagai parti yang asas perjuangannya ialah untuk membela agama, bangsa dan negara.

"Orang Melayu mulai rasakan bahawa mereka mempunyai alternatif lain dalam soal memartabatkan perjuangan bangsa dan agama.

"UMNO dibawah kepimpinan sekarang tidak lagi sama dengan UMNO yang dahulu. Keramatnya yang sering diperkatakan dahulu semakin pudar. Amat menyedihkan. Ubahlah sebelum semakin rebah," katanya.

Pada Sabtu, UMNO dilaporkan sedia untuk menerima kembali ahli yang dikenakan tindakan disiplin iaitu dipecat atau digantung daripada parti.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO terbuka dengan saranan perwakilan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 di Pusat Dagangan Dunia Putra (WTCKL) yang berakhir Sabtu.