Pengunjung ditawar saguhati RM500 adalah palsu

Banner yang disebarkan di media sosial memaparkan saguhati RM500 kepada semua pengunjung.
Banner yang disebarkan di media sosial memaparkan saguhati RM500 kepada semua pengunjung.
A
A
A

SUNGAI BULOH - Perikatan Nasional (PN) Sungai Buloh menafikan menyediakan saguhati RM500 buat pengunjung yang hadir jamuan rakyat di Saujana Utama di sini pada Ahad.

Pengerusinya, Zaharudin Muhammad berkata, pihaknya mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pihak tidak bertanggungjawab menyebar maklumat palsu tersebut seperti tular di media sosial sejak Sabtu.

Menurutnya, perkara tersebut disedari lewat malam Sabtu dan pihaknya telah membuat video penafian bagi mengelak kekeliruan kepada orang awam.

"Ini adalah sabotaj yang kaedah ini berniat buruk bagi merosakkan imej PN dan Pas. Ini politik lapuk dan ketinggalan zaman yang boleh menimbulkan suasana tidak harmoni.

Zaharudin (dua dari kiri) beramah mesra dengan pengunjung yang hadir pada Jamuan Rakyat anjuran PN Sungai Buloh pada Ahad.
Zaharudin (dua dari kiri) beramah mesra dengan pengunjung yang hadir pada Jamuan Rakyat anjuran PN Sungai Buloh pada Ahad.

"Kami akan susuli dengan laporan polis terhadap pelaku yang membuat sebaran tersebut menerusi platform Twitter sejurus program ini selesai, " katanya kepada Sinar Ahad.

Pada Sabtu tular hebahan berkenaan jamuan rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras memaklumkan pengunjung yang hadir pada program anjuran PN Sungai Buloh itu ditawarkan saguhati RM500 setiap seorang.

Zaharudin berkata, kain pemidang asal program telah diubah suai dengan meletakkan 'RM500 untuk semua yang hadir'.

Bagaimanapun katanya, program berlangsung dengan lancar dan tidak berlaku situasi panik susulan penularan maklumat palsu tersebut.

"Ada juga beberapa pengunjung yang hadir bertanya tentang wang RM500 tersebut tetapi kami jelaskan ia adalah palsu.

"Jamuan ini kami adakan susulan tidak sempat mengadakan jamuan raya disebabkan jadual padat. Jadi kami gantikan dengan kenduri kesyukuran pada hari ini," katanya.

Katanya, dianggarkan 2,000 pengunjung hadir termasuk Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Ahmad Yunus Hairi dan pempengaruh, DD Chronicle.