21 klien AADK lulus SPM

Klien AADK menunjukkan keputusan SPM yang keluar pada Khamis.
Klien AADK menunjukkan keputusan SPM yang keluar pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 21 klien Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) lulus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 yang diumumkan pada Khamis.

AADK memaklumkan, seramai 28 klien terdiri 13 calon dari Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Papar, Sabah dan lapan daripada Puspen Seri Iskandar, Perak telah didaftarkan calon SPM tahun lepas.

Menurutnya, mereka merupakan klien yang sedang menjalani program Rawatan dan Pemulihan Dalam Institusi (RPDI) di dua Puspen berkenaan.

“Melihat peluang pendidikan kepada klien, AADK menyediakan modul khas iaitu Program Akses Pendidikan Klien (PAPK) khusus kepada mereka di bawah umur 18 tahun.

“Menerusi program tersebut, mereka akan mengikuti jadual kelas yang sistematik dan diajar oleh guru yang dilantik menerusi Skim Malaysia Short-Term Employment Programme (MySTEP) yang mempunyai ijazah sarjana muda dan pengalaman dalam bidang pendidikan serta bantuan tenaga pengajar daripada Pejabat Pendidikan Daerah,” katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Katanya, PAPK mula diperkenalkan sejak 2015 bagi membantu pelajar yang sedang menjalani program RPDI di Puspen.

“Usaha ini bagi memberi peluang kepada klien memajukan diri dalam aspek akademik. Semua calon didaftarkan sebagai calon persendirian dengan kadar bayaran yuran mengikut subjek teras yang diambil.

“Sebanyak enam mata pelajaran yang diambil mereka iaitu Bahasa Melayu; Bahasa Inggeris; Sains; Matematik; Sejarah dan Pendidikan Islam atau Pendidikan Moral,” jelas kenyataan itu.

Ujar kenyataan itu, mereka yang lulus SPM 2022 berpeluang untuk melanjutkan pelajaran ke tahap lebih tinggi seperti di Institut Kemahiran Mara (IKM), Institut Latihan Perindustrian (ILP), Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), GiatMara Malaysia dan politeknik.