Tindakan mansuh subsidi ayam, telur jejas B40 - Srikandi Bersatu

Gambar hiasan - Foto 123RF (Gambar kecil: Nor Azah)
Gambar hiasan - Foto 123RF (Gambar kecil: Nor Azah)
A
A
A

SHAH ALAM - Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyifatkan tindakan pemansuhan subsidi ayam dan telur akan menyebabkan ketidakstabilan harga makanan.

Exco Srikandi Bersatu, Nor Azah Abdul Aziz turut memberitahu, ia sekali gus menjejaskan hak golongan B40 untuk mendapat harga sewajarnya.

“Selepas ini, subsidi apa lagi yang mahu dihapuskan, jika tidak sasaran seterusnya minyak paket bersubsidi atau tepung?” soalnya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Dalam laporan media sebelum ini, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu memberitahu bahawa tiada lagi subsidi ayam dan telur daripada kerajaan bermula 1 Julai depan.

Nor Azah turut membandingkan tindakan Mohamad dengan Menteri Pertanian dan Industri Makanan sebelum ini, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, yang berusaha mengekalkan subsidi dengan keputusan tidak menaikkan atau mengapungkan harga ayam di pasaran bagi mengelak peningkatan kos sara hidup.

"Majoriti rakyat di negara ini masih dalam keperitan menghadapi krisis kenaikan harga barang di samping mata wang ringgit yang lemah.

Nor Azah berpendapat, kerajaan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN) gagal menangani kos sara hidup rakyat dengan menghapuskan subsidi ayam dan telur.

"Oleh itu, kami mencadangkan kerajaan PH-BN membentangkan bajet tambahan mengenai pemberian bantuan bagi meringankan beban rakyat dan memfokuskan pendapatan boleh belanja bersih individu, bukan isi rumah," ujarnya.