Lelaki tular tunggang motosikal duduk atas kotak barang ditahan

Tangkap layar rakaman video yang memaparkan aksi seorang lelaki yang menunggang motosikal secara berbahaya di Jalan Lingkaran Tengah 2-Pandan Indah, Ampang.
Tangkap layar rakaman video yang memaparkan aksi seorang lelaki yang menunggang motosikal secara berbahaya di Jalan Lingkaran Tengah 2-Pandan Indah, Ampang.
A
A
A

AMPANG - Polis menahan seorang lelaki di Kampung Cheras Baru, Kuala Lumpur pada Khamis selepas tular aksi menunggang motosikal secara berbahaya.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, lelaki berusia 45 tahun yang mempunyai dua saman (waran tangkap) trafik itu ditahan kira-kira jam 10.30 pagi oleh sepasukan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya.

Menurutnya, polis telah merampas motosikal jenis Yamaha Lagenda berwarna hitam.

"Lelaki terbabit yang bekerja sebagai penghantar e-hailing telah dibawa ke Balai Polis Trafik Ampang Jaya untuk siasatan lanjut dan ujian saringan air kencing terhadapnya mendapati adalah negatif.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan melulu dan membahayakan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Pada Rabu, tular di laman sosial Twitter satu rakaman video yang memaparkan aksi seorang penunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda di Jalan Lingkaran Tengah 2-Pandan Indah, Ampang yang menunggang dengan cara duduk di atas kotak barang yang diletakkan di bahagian tempat duduk pembonceng serta pada masa yang sama kedua tangan tidak memegang pada 'handle'.

Motosikal itu juga ditunggang dalam kelajuan yang boleh mendatangkan bahaya kepada diri sendiri serta pengguna jalan raya yang lain.

Susulan itu, kata Mohamad Farouk, pihaknya memohon kerjasama pemilik akaun Twitter berkenaan serta pemilik video yang telah merakamkan kejadian untuk hadir di mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

"Mereka juga boleh berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Trafik IPD Ampang Jaya iaitu Inspektor Muhamad Yusaiful Muhamat Basir di talian 011-13078348," ujarnya.