UMNO perlu berlapang dada terima Kerajaan Perpaduan - Noraini

Noraini - Foto SINAR HARIAN/ Rosli Talib
Noraini - Foto SINAR HARIAN/ Rosli Talib
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli UMNO perlu menerima gabungan dalam Kerajaan Perpaduan dengan berlapang dada bagi memastikan kestabilan politik di negara ini terus terpelihara.

Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, hakikat itu perlu diterima semua pihak memandangkan politik Malaysia bersifat dinamik dan sukar untuk diramal.

“Ingatlah, kita bukan lagi sebuah parti dominan. Kita tidak akan bertanding semua kerusi. Kita perlu bermuafakat. Kita perlu berkompromi. Demi membawa kemenangan kepada kerajaan perpaduan, yang kita dukung bersama.

“Seperti mana semua sedia maklum, kita bukan sahaja perlu memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) tetapi juga membantu rakan-rakan parti dalam gabungan kerajaan memenangi kerusi masing-masing, seperti mana kita mengharapkan sokongan yang sama daripada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung Wanita UMNO 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini pada Khamis.

Noraini pada masa sama mengakui wujud rasa sukar untuk UMNO menerima ‘politik baharu’ memandangkan sebahagian parti dalam Kerajaan Perpaduan sudah lama menjadi seteru.

“Namun dalam mendepani kesukaran ini ingatlah pepatah Melayu, tidak ada gunung yang tidak dapat didaki, tidak ada lurah yang tidak dapat dituruni. Kebangkitan dan kejayaan ini bukanlah sesuatu yang mustahil untuk kita capai,” katanya.

Justeru katanya, perhimpunan kali ini juga penting untuk mencari formula terbaik dalam usaha memberikan nafas baharu kepada wanita, demi meletakkan semula UMNO di persada negara.