Keputusan inter-parte injunksi terhadap Puteri Sarah 14 Ogos

Syamsul dan Puteri Sarah tidak hadir di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam bagi prosiding permohonan injunksi inter-parte pada Khamis dan hanya diwakili peguam syarie masing-masing.
Syamsul dan Puteri Sarah tidak hadir di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam bagi prosiding permohonan injunksi inter-parte pada Khamis dan hanya diwakili peguam syarie masing-masing.
A
A
A

SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada Khamis, menetapkan 14 Ogos depan untuk keputusan inter-parte iaitu dua pihak, bagi permohonan injunksi oleh pengarah filem, Syamsul Yusof terhadap isteri pertamanya, Puteri Sarah.

Ia merupakan perintah menghalang Puteri Sarah atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin daripada memuat naik, mengeluarkan, menulis, menerbit, menyebarkan, menghebahkan atau menyalurkan sebarang keterangan berhubung kes cerai dan nusyuz pasangan itu dalam apa jua bentuk atau medium.

Semasa prosiding, Hakim Syarie Abdul Halim Abdullah memerintahkan pihak Syamsul atau nama sebenarnya Mohd Shamsul Md Yusof dan isterinya itu memfailkan hujahan sebelum tarikh berkenaan.

Bagaimanapun, dalam prosiding ini, pengarah filem Mat Kilau dan Puteri Sarah tidak hadir ke mahkamah dan hanya diwakili peguam syarie masing-masing.

Selepas prosiding, peguam syarie, Azmi Mohd Rais yang mewakili pengarah berusia 39 tahun itu berkata, mahkmah turut membenarkan injuksi terhadap ibu kepada dua anak ini, dilanjutkan sehingga keputusan itu diputuskan.

Peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Puteri Sarah berkata, anak guamnya telah memasukkan permohonan bantahan terhadap injunksi berkenaan.

"Antara alasan yang dibuat ialah menyentuh kebebasan bersuara," katanya.

Untuk rekod, Syamsul dan Puteri Sarah berkahwin pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah, 4.

Kemelut rumah tangga pasangan ini mula diperkatakan sejak empat tahun lalu, namun anak kepada Datuk Yusof Haslam itu tidak pernah membuka mulut mengenai perkara itu.

Pada 6 Januari lalu, Syamsul akhirnya mengotakan janji untuk ‘meletak titik noktah’ pada teka-teki perhubungannya dengan Ira Kazar, apabila mengakui sudah menikahi wanita itu di Thailand.

Pelakon 'Lu Pikirlah Sendiri de Movie' Puteri Sarah kemudiannya memfailkan permohonan cerai daripada Syamsul pada 16 Januari, menerusi Tetuan Akberdin & Co.

Pada 21 Mac lalu, Syamsul memfailkan permohonan nusyuz terhadap Puteri Sarah di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, di sini.

Dia mendakwa Puteri Sarah sering menghubungi bekas kekasih yang berstatus suami orang, sehingga mengganggu rumah tangga lelaki itu.