Langkah kerajaan perketat syarat 'Malaysia Rumah Keduaku' berkesan

Saifuddin Nasution
Saifuddin Nasution
A
A
A

KUALA LUMPUR - Langkah kerajaan memperketat syarat penyertaan program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) tahun lepas bukan sahaja dapat mengekang aktiviti pengintipan, tetapi juga berjaya menambah nilai kewangan yang diperoleh negara menerusi program itu.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, walaupun jumlah permohonan menurun, nilai kewangan yang direkod dalam setahun sejak penambahbaikan itu adalah hampir RM1 bilion, menyamai nilai yang dicatat dalam tempoh lima tahun pelaksanaan program itu sebelum ini iaitu dari 2015 hingga 2019.

"Memang berlaku penurunan dari segi permohonan dan kelulusan... data 2019 sebelum (pandemik) Covid-19 mencatatkan yang memohon 3,900 orang, tetapi dengan syarat baharu, angka permohonan lebih kurang 2,000 iaitu penyusutan 50 peratus.

"Bagaimanapun kerana kita ketatkan syarat permohonan seperti simpanan tetap perlu ada RM1 juta, sekarang ini terdapat sebanyak 375 permohonan yang telah diluluskan, ini bermakna terdapat RM375 juta telah ada dalam pasaran kewangan negara.

"Selain itu 800 lagi permohonan telah kita beri prakelulusan, yang memerlukan mereka melengkapkan satu dua dokumen lagi termasuk tapisan kesihatan dan sebaik diluluskan nanti kita, telah ada RM800 juta dalam akaun perbankan negara," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Rabu.