Bernhardt kecewa Kelantan FC dibelasah Kelantan United

Bernhardt (kanan) semasa sidang akhbar selepas perlawanan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.
Bernhardt (kanan) semasa sidang akhbar selepas perlawanan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.
A
A
A

KEKALAHAN 1-4 Kelantan FC di tangan seteru setempat, Kelantan United dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV di sini pada Jumaat cukup mengecewakan pengendali pasukan, Frank Bernhardt

Perasaan kecewa jelas terpampang diraut wajah jurulatih kelahiran Jerman itu apabila dia seolah-olah hilang kata-kata melihat aksi yang dipamerkan barisan pemain The Red Warriors (TRW).

"Benteng pertahanan terlalu lemah dengan terus melakukan kesilapan dan dilihat seperti belum cukup bersedia untuk bersaing dalam Liga Super.

"Begitu juga dengan bahagian serangan, apabila peluang terhidang yang dimiliki gagal diterjemahkan ke dalam bentuk jaringan," katanya semasa sidang akhbar selepas tamat perlawanan.

Menurut beliau, jumlah bolos yang direkodkan oleh TRW ketika ini bukanlah sesuatu perkara normal.

Ujarnya, aksi terbaik benteng pertahanan dapat dilihat ketika pasukan hanya dibolosi tiga gol sahaja.

"Hal ini kerana, pada aksi lain lawan berjaya merobek gawang sehingga empat ke lima gol," katanya.

Bernhardt memberitahu, beliau dan barisan kejurulatihan telah melakukan segala usaha untuk mengubah situasi dan memperbaiki setiap kelemahan yang dikesan.

Tambahnya, pasukan jurulatih sudah menyediakan rakaman video dan bertemu serta berbincang secara perseorangan atau berkumpulan dengan pemain untuk menaikkan motivasi pasukan.