Ubah sektor 3D kepada pekerjaan berpendapatan tinggi - KSM

Zaini (kiri) hadir pada majlis Perasmian Seminar: TVET Pemangkin Pembentukan Malaysia Madani sempena Hari TVET Negara 2023 di Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST), pada Jumaat. - Foto Bernama
Zaini (kiri) hadir pada majlis Perasmian Seminar: TVET Pemangkin Pembentukan Malaysia Madani sempena Hari TVET Negara 2023 di Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST), pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Sumber Manusia (KSM) ingin mengubah sektor kotor, bahaya, sukar (3D) kepada pekerjaan berpendapatan tinggi sekali gus mengurangkan kebergantungan buruh asing dalam bidang tersebut.

Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Dr Zaini Ujang berkata, bagi merealisasikan hasrat itu, mereka yang terlibat dalam sektor berkenaan perlu berterusan menimba ilmu khususnya dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk mengumpul pengalaman serta pengetahuan menjadi pekerja berkemahiran tinggi.

"Untuk buat perkara itu (mengurangkan kebergantungan buruh asing) kita kena berlatih dan sektor TVET (dalam negara) menyediakan pelbagai latihan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar TVET Pemangkin Pembentukan Malaysia MADANI sempena Hari TVET Negara 2023 yang disambut setiap 2 Jun, di Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST) di sini pada Jumaat.

Zaini berkata, mereka yang terlatih dalam sektor TVET mempunyai produktiviti kerja lebih tinggi berbanding dengan pekerja bukan daripada bidang itu, selaras dengan hasrat negara yang menyasarkan 35 peratus pekerja Malaysia dalam kalangan berkemahiran tinggi menjelang 2030.

"Secara tidak langsung negara kita tidak akan bergantung kepada pekerja asing dalam bidang 3D khususnya dengan jumlah pekerja asing seluruh negara setakat ini mencecah hampir 1.5 juta,” katanya.

Terdahulu, seminar hari ini menampilkan panel daripada pengamal industri, badan profesional, badan kawal selia TVET, dan ikon TVET yang membincangkan pelbagai topik berkaitan pelaksanaan program TVET di Malaysia.

Isu seperti profesionalisme graduan, fleksibiliti program, laluan kerjaya, dan keusahawanan berasaskan TVET turut dibincangkan bagi memberi inspirasi kepada peserta dalam melihat potensi TVET secara menyeluruh. - Bernama