Bomba pantau lokasi bumbung dewan IKIM runtuh

Keadaan dewan di IKIM yang dipantau pihak bomba selepas bumbung runtuh pada Rabu.
Keadaan dewan di IKIM yang dipantau pihak bomba selepas bumbung runtuh pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pasukan bomba dan penyelamat melakukan pemantauan di lokasi runtuhan bumbung di dewan di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Jalan Duta di sini pada Khamis.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Sentul, S Thirugaya berkata, seramai 10 anggota ditempatkan di lokasi kejadian bagi memantau keadaan dan keselamatan kakitangan IKIM yang bertugas.

"Ketika ini, keadaan terkawal dan kakitangan IKIM sedang memindahkan beberapa barangan yang tidak terjejas ke tempat selamat.

"Sepanjang tempoh memindahkan barangan itu, kita memantau struktur bangunan sekitar lokasi terjejas supaya tiada runtuhan lain berlaku,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini pada Khamis.

Pada Rabu, media melaporkan enam wanita tempatan berusia antara 30 hingga 50 tahun cedera ringan selepas bumbung dewan di bangunan tersebut runtuh.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur dipetik berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 11.56 pagi semalam.

Katanya, seramai 15 anggota bersama tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sri Hartamas dan Jalan Hang Tuah bergegas ke lokasi kejadian.

Pasukan bomba mendapati terdapat runtuhan yang membabitkan keseluruhan bumbung dewan berkenaan.