Tawaran sertai PH: Hadi kena buktikan

Mohd Hairi
Mohd Hairi
A
A
A

ISKANDAR PUTERI – “Kita nak dengar sendiri daripada mulut Hadi,”

Itu reaksi Naib Ketua Pemuda UMNO, Mohd Hairi Mad Shah yang mendesak Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang agar mendedahkan pihak yang menawarkan parti berkenaan untuk bekerjasama dengan Kerajaan Perpaduan.

Menurut Mohd Hairi kenyataan Abdul Hadi berhubung tawaran tersebut dilihat sebagai satu kenyataan yang luar biasa yang dikeluarkan oleh pimpinan tertinggi Pas sepertinya.

Justeru katanya, kenyataan tersebut perlu disertakan dengan bukti bagi mengesahkan bahawa Pas ada menerima tawaran sedemikian.

“Jika betul terima tawaran itu, berikan nama individu yang mẹmbuat tawaran itu dan bila tawaran itu dibuat... jika ada bukti lagi menarik, nak dengar sendiri daripada mulut Hadi.

“Jangan terlalu yakin, saya faham, kita pernah bersama (menjadi kerajaan sebelum ini) dan rindukan rasa nikmat duduk dalam kerajaan.

“Bawa bertenang, Insya-ALLAH jika ada rezeki, dengan keberadaan kerajaan Madani yang cukup stabil... sebab itulah mereka terasa nak bersama dan membantu kerajaan hari ini,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Induk Penyelarasan Southern Volunteers Prihatin@ Johor Future 2023, di sini pada Rabu.

Mohd Hairi berkata demikian bagi mengulas berhubung kenyataan Pas bahawa veteran DAP, Lim Kit Siang mengajak parti berkenaan masuk Kerajaan Perpaduan.

Untuk rekod, baru-baru ini Abdul Hadi memberitahu bahawa beliau pernah dihubungi beberapa kali oleh ‘orang tertentu’ yang menawarkan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.