Penganjur acara perlu waspada - ABIM

Laporan Sinar Harian pada Isnin.
Laporan Sinar Harian pada Isnin.
A
A
A

MELAKA - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Melaka menggesa penganjur program acara agar berwaspada insiden yang bercanggah dengan norma dan budaya masyarakat setempat tidak berulang.

Yang Dipertuanya, Dr Mohd Nurishaq Mohd Fauzi berkata, ia susulan satu hantaran video tular di media sosial berkait seorang individu mempamerkan aksi bersifat sensual dan tidak sopan di hadapan pengunjung yang terdiri daripada ibu bapa dan kanak-kanak.

Beliau berkata, ABIM Melaka mengecam sekeras-kerasnya tindakan penganjur yang membiarkan aksi kurang senonoh ketika penganjuran satu festival di Melaka, baru-baru ini.

"Insiden sebegini memberikan imej buruk kepada Melaka dan bertentangan dengan norma masyarakat setempat, ia juga meruntuhkan nilai hormat dan keyakinan yang menjadi teras pembinaan Malaysia Madani," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Justeru katanya, ABIM Melaka juga menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil tindakan sewajarnya berhubung kejadian itu sebagai satu bentuk pengajaran kepada pihak terlibat.

Pada Selasa, Mufti Melaka Datuk Abdul Halim Tawil dilaporkan meminta mana-mana penganjur yang mahu menganjurkan sebarang acara di negeri itu agar mewujudkan garis panduan tersendiri bagi mengelak perlakuan kurang senonoh daripada peserta ketika acara berlangsung.

Beliau dipetik sebagai berkata, ia penting bagi menjaga nilai dan akhlak peserta terutama yang beragama Islam sekali gus mereka menjadi contoh kepada masyarakat. - Bernama