Sterling optimis magis Pochettino

Pochettino - Foto Agensi
Pochettino - Foto Agensi
A
A
A

PENYERANG sensasi, Raheem Sterling menyifatkan Mauricio Pochettino adalah bos yang 'betul' untuk mengembalikan era kegemilangan Chelsea dalam kancah Liga Perdana Inggeris (EPL).

Pochettino diumumkan secara rasmi sebagai pengendali baharu The Blues pada Isnin selepas dia menandatangani kontrak dua tahun dengan pilihan tambahan setahun.

“Sewaktu dia di Tottenham saya sudah mendengar tentangnya dan dia adalah individu tepat yang kami perlukan,” katanya.

Chelsea menamatkan saingan EPL musim ini di tangga ke-12.

Penyerang England, Sterling menyertai Chelsea dari Manchester City pada musim panas lalu dan jurulatih dari Argentina itu adalah bos keempatnya di Stamford Bridge selepas Thomas Tuchel, Graham Potter dan Frank Lampard.

“Dia akan membawa daya kepimpinan berbeza. Dia akan mencabar pemain-pemain secara fizikal dan mental. Saya rasa dia akan datang ke sini membawa personaliti yang akan dihormati semua orang.

“Itu yang kami perlukan, seseorang yang dapat mengawal keadaan,” kata Sterling.

Pochettino pernah membimbing Spurs ke final Liga Juara-Juara pada tahun 2019 sebelum menjadi bos Paris Saint-Germain dan memenangi Ligue 1 serta Piala Perancis.

Jurulatih berusia 51 tahun akan membawa Chelsea ke Amerika Syarikat untuk persiapan pramusim pada Julai depan.

Dia mengambil alih kelab daripada pengendali sementara dan legenda kelab, Lampard, yang kembali membimbing Chelsea selepas Potter dipecat bulan lalu.