FELDA bantu lahirkan generasi berinovasi

FRC23 mantapkan kemahiran murid dalam pembelajaran robotik

A
A
A

Pelajar generasi baharu FELDA dari SK Sahabat 4 ketika pertandingan FELDA Robotic Challenge 2023
Pelajar generasi baharu FELDA dari SK Sahabat 4 ketika pertandingan FELDA Robotic Challenge 2023

KUALA NERUS - Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) mahu membudayakan inovasi dan teknologi maklumat dalam kalangan pelajar sekolah bagi melahirkan generasi baharu FELDA bijak digital dengan menganjurkan FELDA Robotic Challenge 2023 (FRC23).

Pengerusi FELDA, Tan Sri Idris Jusoh berkata, FRC23 yang dilaksanakan dengan kerjasama Yayasan FELDA diharap dapat menjadi platform terbaik untuk memantapkan kemahiran, kreativiti dan meningkatkan penguasaan murid khususnya dalam pembelajaran robotik.

Menurutnya, ia juga merupakan inisiatif FELDA untuk menambah nilai pendidikan sedia ada dengan pembelajaran teknologi bermula di peringkat sekolah rendah sebagai persediaan generasi FELDA mendepani Revolusi Industri Keempat (IR 4.0).

“Kita yakin melalui pertandingan dan inisiatif yang dilaksanakan seperti ini, FELDA akan dapat melahirkan generasi baharu yang sentiasa bersedia dalam pelbagai aspek termasuk teknikal, berinovasi tinggi dan berkemahiran,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Perasmian dan Penutup FELDA Robotic Challenge 2023 yang diadakan di Dewan Asrama Atlet Majlis Sukan Negeri Terengganu, Kompleks Sukan Negeri Terengganu, di sini pada Sabtu.

Sebanyak 43 sekolah terdiri daripada enam sekolah menengah dan 37 sekolah rendah yang berada dalam kawasan FELDA mengambil bahagian menyertai pertandingan julung kali diadakan tersebut.

Terdapat dua kategori yang dipertandingkan dalam pertandingan di Terengganu sebagai tuan rumah iaitu kategori Projek Sekolah FELDA Digital Maker Hub (FDMH) dan kategori terbuka.

Melalui pertandingan itu, sebanyak 10 sekolah diumumkan sebagai finalis iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lepar Utara, Sekolah Kebangsaan (SK) FELDA Chemplak, SK LKTP Bukit Besar, SK Lepar Utara, SK Kemendor, SK Sahabat 4, SK Kemahang 3, SK FELDA Batu 8, SK LKTP Bukit Sagu 1 dan SK Sri Chiku 1.

Pamerkan kreativiti

 Idris (tengah) bergambar kenangan pada Perasmian dan Penutup FELDA Robotic Challenge 2023 yang disertai 43 sekolah dalam kawasan FELDA di Dewan Asrama Atlet Majlis Sukan Negeri Terengganu, Kompleks Sukan Negeri Terengganu, di sini pada Sabtu.
Idris (tengah) bergambar kenangan pada Perasmian dan Penutup FELDA Robotic Challenge 2023 yang disertai 43 sekolah dalam kawasan FELDA di Dewan Asrama Atlet Majlis Sukan Negeri Terengganu, Kompleks Sukan Negeri Terengganu, di sini pada Sabtu.



Semua sekolah tersebut dipilih untuk berentap mempamerkan kreativiti masing-masing di FRC23 – Grand Final yang dijangka berlangsung semasa sambutan Hari Peneroka FELDA 2023 Peringkat Kebangsaan tidak lama lagi.

Idris berkata, FRC23 merupakan kesinambungan daripada inisiatif program FDMH-Coding & Robotic yang dilaksanakan di 71 buah sekolah rendah yang terdapat dalam wilayah FELDA seluruh negara.

Jelas beliau, setakat ini sebanyak 71 sekolah sudah mempunyai Kelab Pengekodan dan Robotik dan pihaknya menyasarkan semua 270 sekolah rendah dalam kawasan FELDA akan menubuhkan kelab tersebut pada akhir tahun depan.

“Kita bekerjasama dengan beberapa pihak termasuk anak-anak FELDA yang sudah menempa kejayaan untuk membudayakan pembelajaran IT di sekolah supaya mereka mempunyai asas digital untuk ke peringkat lebih tinggi.

“Selepas ini, kita bercadang untuk mewujudkan Coding Robotik 2.0 pula iaitu kurikulum yang bakal ditambah nilai bagi memenuhi keperluan dan kehendak pelajar yang sudah mempunyai asas pengekodan serta robotik sekarang.

“Usaha ini sebagai persediaan supaya FELDA menjadi sebuah organisasi mesra sains dan teknologi serta mempunyai generasi berkemahiran tinggi, berinovasi yang boleh membantu kemajuan masa depan negara,” katanya.