[VIDEO] Tiada jemaah Malaysia terkena strok haba

A
A
A

MAKKAH - Tiada kes strok haba dilaporkan berlaku melibatkan jemaah haji Malaysia walaupun purata suhu di Madinah dan Makkah ketika ini sekitar 40 darjah Celsius.

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, setakat ini jemaah haji Malaysia hanya mengalami dehidrasi dan ia adalah kes terpencil yang tidak serius.

“Mereka menghadapi dehidrasi bukan sehingga ke tahap strok haba, jadi apabila mereka balik ke hotel masing-masing dan ke klinik yang tersedia di setiap hotel (penginapan) di Madinah, mereka telah mendapatkan rawatan dan dinasihatkan oleh doktor untuk berehat.

“Selepas itu, dalam masa beberapa jam sahaja mereka telah pun pulih dan dapat melaksanakan ibadat dan aktiviti harian mereka seperti sedia kala,” katanya.

Beliau turut menasihatkan para jemaah yang berada di Makkah dan Madinah untuk menjaga kesihatan supaya tidak terdedah dengan cuaca panas ketika ini.

Syed Saleh sebelum itu menyambut ketibaan kumpulan pertama 284 jemaah haji Malaysia yang memasuki Makkah jam 3.30 petang waktu tempatan pada Jumaat, selepas berada enam hari berada di Madinah.

Kesemua jemaah itu tiba dengan enam buah bas ke hotel penginapan di Abraz Al Janadriyah di sini dan menunaikan umrah pertama mereka pada sebelah malam bagi mengelakkan cuaca panas.

Syed Saleh dalam pada itu menasihatkan semua jemaah agar bergerak secara berkumpulan pada waktu pagi dan malam terutama dengan rakan sebilik kerana ketika ini kehadiran jemaah haji masih belum ramai.

Tambahnya lagi, susulan pergerakan darat antara bandar melibatkan jemaah haji telah bermula, Tabung Haji (TH) telah mengaktifkan pasukan peronda lebuh raya bagi memantau pergerakan bas dan memberikan perkhidmatan di kawasan rehat dan rawat (R&R).

Katanya, pasukan kesihatan juga telah bersedia dengan ambulans untuk membantu jemaah haji yang memerlukan bantuan atau rawatan sepanjang perjalanan dari Madinah ke Makkah,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Kumpulan Mashariq (syarikat muassasah yang bekerjasama dengan TH untuk mengendalikan jemaah haji Malaysia di Makkah), Adnan Hussain Mandourah berkata, pihaknya akan sentiasa memastikan khidmat kepada jemaah haji sentiasa berada dalam keadaan terbaik dari segi keselesaan, kelancaran ibadat dan keselamatan.