Jenazah Awang Askandar dijangka tiba di KLIA pagi esok

Jenazah Awang Askandar dijangka tiba di KLIA pada jam 6.25 pagi Sabtu.
Jenazah Awang Askandar dijangka tiba di KLIA pada jam 6.25 pagi Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Jenazah Leftenan Kolonel (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacub dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 6.25 pagi Sabtu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, mangsa yang juga Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah itu diterbangkan dari Kathmandu menggunakan pesawat MH115 pada Jumaat, kira-kira jam 11.30 malam (waktu tempatan).

Menurutnya, pengurusan membawa balik jenazah yang terkorban dalam ekspedisi pendakian Gunung Everest itu telah diselaraskan dengan lancar oleh pihak Kedutaan Malaysia di Nepal.

“Mangsa akan dibawa balik ke Kota Kinabalu dengan menaiki pesawat MH2646 pada Sabtu, jam 11.35 pagi dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada jam 2.15 petang.

“Atas permintaan ahli keluarga, jenazah akan dibawa ke kediaman mereka di Kampung Benoni, Papar dan kemudiannya ke Masjid Jamek As-Salam Benoni untuk solat jenazah.

“Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Benoni untuk disemadikan mengikut upacara istiadat penghormatan APM,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Awang Askandar meninggal dunia pada Jumaat, jam 10.30 pagi waktu Nepal (12.45 tengah hari waktu Malaysia) selepas terjatuh pada ketinggian 8,000 meter dari aras laut.

Allahyarham bersama Muhammad Hawari Hashim, 33, ketika itu sedang melakukan pendakian dan hanya memerlukan kira-kira 20 minit untuk sampai ke puncak.

Bagaimanapun, Hawari dilaporkan hilang ketika turun dari kem empat selepas menawan puncak gunung tertinggi di dunia itu dan dipercayai terjatuh di kawasan kaki Gunung Lhotse, Nepal.