Syarikat dibenar keluar gula putih bertapis jernih

Salahuddin - Foto Bernama
Salahuddin - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Kerajaan membenarkan permohonan dua syarikat pengeluar gula MSM Malaysia Holdings Berhad dan Central Sugars Refinery Sdn Bhd (CSR) untuk mengeluarkan gula putih bertapis jernih.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, kebenaran tersebut bermula pada hari ini.

Menurutnya, harga produk baharu gula itu adalah tidak dikawal oleh kerajaan sebaliknya ditentukan oleh pasaran.

"Permohonan ini adalah sebahagian daripada pelan pemasaran syarikat-syarikat tersebut untuk terus kekal berdaya saing dan lestari," katanya menerusi sidang akhbar selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kementerian dan agensi, di sini pada Khamis.

Beliau berkata, gula putih bertapis jernih akan memberikan pilihan kepada pengguna selain gula putih bertapis sedia ada iaitu gula kasar dan halus.

"Kerajaan juga telah memberi arahan kepada MSM dan CSR untuk terus mengeluarkan gula putih bertapis sedia ada yang saya sifatkan sebagai gula rakyat pada kuantiti semasa iaitu 42,000 tan sebulan" ujar Salahuddin.

Tegasnya, kebenaran penjualan gula putih bertapis jernih tidak boleh menggantikan bekalan gula sedia ada.

"Syarikat-syarikat pengeluar gula boleh diambil tindakan jika tidak mengeluarkan bekalan gula rakyat yang mencukupi di pasaran.

Begitu juga kepada mana-mana pemborong dan peruncit yang mengenakan pembelian bersyarat atau tidak menjual gula putih bertapis sedia ada kepada pelanggan," tambahnya lagi.

Dalam pada itu, Salahuddin turut mengumumkan Ops Manis diteruskan bagi tempoh sebulan lagi bagi memastikan penjualan gula putih bertapis jernih tidak menjejaskan bekalan gula sedia ada.

"Rakyat jangan gusar, tidak perlu panik dan gula sedia ada tetap berada pasaran," katanya.

Gula putih bertapis kasar dan pada harga RM2.85 sekilogram manakala RM2.95 bagi gula putih bertapis halus.

Kedua-dua harga tersebut ditetapkan kerajaan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Sementara itu, ditanya adakah gula putih bertapis jernih adalah gula premium, Salahuddin berkata ia terpulang kepada syarikat berkenaan untuk menamakannya.

"Harga pun terpulang kepada syarikat tetapi jangan melampau," tegasnya.