ADUN Padungan digantung 12 bulan

Ahli Dewan Undangan Negeri Padungan Wong King Wei semasa sidang akhbar di Dewan Undangan Negeri Sarawak hari ini. - Foto Bernama
Ahli Dewan Undangan Negeri Padungan Wong King Wei semasa sidang akhbar di Dewan Undangan Negeri Sarawak hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - Jawatankuasa Hak Keistimewaan Dewan Undangan Negeri Sarawak telah memerintahkan ADUN Padungan Wong King Wei digantung 12 bulan bermula hari ini berikutan kenyataannya yang menyingung perasaan Dewan dan Speaker pada persidangan DUN lepas, pada tahun lepas.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, ketika membentangkan usul mengenai laporan Jawatankuasa Hak Keistimewaan itu sebelum itu berkata, Dewan memutuskan untuk menerima saranan-saranan jawatankuasa berkenaan selepas 64 daripada 82 ADUN mengundi menyokong penggantungan tersebut.

Jawatankuasa Hak Keistimewaan telah mengadakan ikuiri pada 18 Februari lepas terhadap kenyataan King Wei yang dianggap telah menyinggung perasaan, melukakan hati serta menyakitkan hati DUN Sarawak, eksekutif dan Speaker Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar.

Ini berikutan kenyataan yang diucapkan King Wei pada persidangan DUN pada 12 November lepas di mana beliau dikatakan telah mempersoalkan ketepatan waktu Speaker dalam mengendalikan mesyuarat-mesyuarat.

Ketika ditemui pemberita kemudian, king Wei berkata beliau berasa telah diberi layanan kasar dan tidak adil oleh DUN dan Speaker hanya semata-mata kerana kenyataannya itu.

“Ia komen yang adil dan membina, bukan terhadap Speaker secara peribadi tetapi untuk tujuan pembaharuan DUN,” kata ADUN DAP itu, dan menambah, beliau akan mencabar penggantungannya itu di mahkamah selepas merujuk perkara itu kepada pasukan perundangan DAP.

Ketika membentang usul tersebut, Abdul Karim berkata, Speaker adalah wakil kepada DUN kerana beliaulah jurucakap dan pemerhati kepada seluruh peraturan untuk menjaga ketenteraman dan ketertiban persidangan, yang mana ketiadaan Speaker akan menjadikan Dewan ini seperti sebuah pasar ikan.

“Setiap sesi, sama ada dalam persidangan DUN, di padang bola sepak atau apa juga permainan, mesti ada pengadil untuk memberi bimbingan dan mesti ada peraturan dan ketertiban dalam melakukan sesuatu perkara,” kata beliau.

Artikel Berkaitan:

Timbalan Speaker Datuk Gerawat Gala sebelum ini berkata, tindakan merujukkan King Wei kepada jawatankuasa itu adalah selari dengan amalan di Parlimen Westminster dan Perintah Tetap 89 DUN Sarawak. - Bernama