Wanita muat naik gambar tatu kalimah ALLAH di badan ditahan

Seorang pemilik akaun Facebook ditahan kerana memuat naik gambar menunjukkan tanda tatu kalimah ALLAH.
Seorang pemilik akaun Facebook ditahan kerana memuat naik gambar menunjukkan tanda tatu kalimah ALLAH.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menahan seorang pemilik akaun Facebook yang didakwa memuat naik gambar menunjukkan tanda tatu kalimah ALLAH di badan seorang wanita.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, wanita berusia 46 tahun itu ditahan di Gombak, Selangor pada Selasa.

"Kita turut merampas sebuah telefon bimbit bersama sekeping kad sim," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Noorsiah berkata, kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian D5, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

"Suspek direman tiga hari bermula hari ini (Rabu) hingga Jumaat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya.

Beliau berkata, orang ramai diingatkan agar tidak membuat hantaran atau menularkan perkara yang menyentuh sensitiviti agama, perkauman dan institusi diraja di platform media sosial sehingga boleh membangkitkan perpecahan keamanan serta menggugat keharmonian kaum.

"Tindakan tegas tanpa kompromi bakal diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja menggugat ketenteraman serta keselamatan awam," katanya.