150,154 mohon pinjaman Fasiliti Sokongan Akaun 2 KWSP

Ahmad Maslan.
Ahmad Maslan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan seramai 150,154 orang telah memohon pinjaman melalui Program Fasiliti Sokongan Akaun 2 (FSA 2) bagi Fasa 1 yang dibuka sejak 7 April lalu.

Bagaimanapun, ujar beliau, daripada jumlah permohonan itu, hanya separuh sahaja yang layak melibatkan pemohon berumur 40 hingga 50 tahun.

"FSA 2 ini telah dipohon oleh 150,154 orang, namun yang layak hanya separuh daripada jumlah tersebut iaitu hanya yang berumur 40 hingga 50 tahun bagi Fasa 1, melibatkan 76,018 orang.

“Jumlah pinjaman adalah sebanyak RM726,318,500 daripada Malaysia Building Society Berhad (MBSB) dan Bank Simpanan Nasional (BSN),” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan soalan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) yang meminta Menteri Kewangan menyatakan tindakan kerajaan berkaitan pinjaman bank bersandarkan cagaran akaun kedua KWSP di bawah program pencarum apabila syarikat jaminan pembiayaan perniagaan tidak bersetuju untuk membayar pampasan kepada bank-bank kreditor apabila pencarum KWSP gagal membayar balik pinjaman mereka.

Ahmad (BN-Pontian) menjawab soalan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) yang meminta Menteri Kewangan menyatakan tindakan kerajaan berkaitan pinjaman bank bersandarkan cagaran akaun kedua KWSP di bawah program pencarum apabila syarikat jaminan pembiayaan perniagaan tidak bersetuju untuk membayar pampasan kepada bank-bank kreditor apabila pencarum KWSP gagal membayar balik pinjaman mereka.

Ulasnya, FSA 2 merupakan program pembiayaan peribadi yang dibuat oleh KWSP, bukannya satu cagaran atau sandaran.

“Kemudian tidak betul jika ada keperluan syarikat jaminan pembiayaan perniagaan yang tidak bersetuju kerana ia tidak berbangkit kena bayar setiap bulan.

“Jika pembayaran tidak dibuat setiap bulan, pihak bank perlu menunggu umur mereka 50 tahun atau 55 tahun dan barulah KWSP boleh membuat pembayaran,” katanya.

Sebelum ini, KWSP dalam satu kenyataan berkata FSA 2 dilaksanakan dalam dua fasa, dan ahli yang memenuhi kriteria kelayakan boleh memohon melalui bank yang mengambil bahagian iaitu MBSB Bank dan BSN.

Fasa 1 bermula pada 7 April 2023 dan kekal dibuka selama setahun dengan permohonan melibatkan ahli yang layak berumur 40 tahun ke atas.

Sementara bagi Fasa 2 pula, tarikh permohonan untuk ahli di bawah umur 40 tahun akan diumumkan kelak.