Kemampuan fizikal, mental penting di Tanah Suci

Perkuburan Baqi di Masjid Nabawi.
Perkuburan Baqi di Masjid Nabawi.
A
A
A

MADINAH - Bakal-bakal haji yang terdiri daripada golongan muda yang sihat tubuh badan paling bertuah apabila dapat menunaikan Rukun Islam kelima itu pada tahun ini.

Ini kerana dengan keupayaan fizikal yang baik ditambah pula pada usia yang muda, ia memberikan banyak kelebihan kepada mereka sewaktu berada di Tanah Suci.

Seperti yang semua sedia maklum, keupayaan fizikal dan kesihatan amat penting bagi menentukan seseorang itu mempunyai istitho’ah atau berkemampuan untuk menunaikan ibadat haji.

Tambahan pula hampir kesemua rukun dan wajib haji melibatkan aktiviti fizikal kecuali niat.

Penulis sendiri yang sudah seminggu berada di Tanah Suci merasai sendiri betapa pentingnya keupayaan fizikal dalam menentukan istitho'ah selain kemampuan kewangan dan masa.

Jika di tanah air, dalam sehari kadangkala tidak sampai 2,000 langkah berjalan tetapi semenjak di sini, purata 10,000 langkah dan pernah mencecah 25,000 langkah sehari.

Itu belum dikira cabaran cuaca panas ekstrem yang perlu dihadapi apabila terpaksa bersesak dengan jemaah lain sambil terdedah di bawah panas terik matahari.

Ketika aktiviti ziarah dalam di Masjid Nabawi seperti ke Makam Rasulullah dan perkuburan Baqi pada Isnin dapat dilihat bagaimana jemaah warga emas perlu berusaha untuk berjalan lebih laju daripada biasa untuk terus berada dalam kelompok jemaah Malaysia.

Bagi yang tidak mampu, mereka agak ketinggalan di belakang dan memerlukan bantuan petugas agar tidak terus sesat ataupun keletihan di tengah perjalanan.

Mohd Uzir dan isterinya.
Mohd Uzir dan isterinya.

Berkongsi pandangan mengenai perbezaan antara usia muda dan tua ketika mengerjakan haji, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin mempunyai pandangannya yang tersendiri.

Ketika ditemui selepas melakukan rutin hariannya iaitu berjalan kaki untuk kekal sihat, dengan kali ini berjalan lebih dua kilometer sekitar Masjid Nabawi usai solat Subuh, beliau berkata, golongan warga emas ada keistimewaan mereka tersendiri.

"Yang mengerjakan haji ini ada berbagai latar belakang dan kita amat empati kepada warga emas yang ada kekurangan daripada segi keupayaan.

"Doakan mereka supaya ada kekuatan untuk melaksanakan ibadah dengan baik kerana bagi saya selain kekuatan fizikal, mental juga penting," katanya.

Mohd Uzir memberikan contoh keupayaan mental dimiliki warga emas apabila dapat menunaikan solat tarawih dan witir 21 rakaat pada bulan Ramadan lalu.

"Ada sesetengah orang muda tak mampu nak buat 21 rakaat kerana tidak mempunyai kekuatan mental seperti golongan warga emas," katanya.

Di sebalik kelebihan dan kekurangan masing-masing, semuanya perlu bekerjasama untuk saling tolong menolong antara satu sama lain iaitu golongan mampu bantu yang kurang mampu.

Selain itu beliau turut menghargai dasar pengurusan TH dalam memastikan kelancaran ibadah itu bermula dari tanah air hingga jemaah pulang nanti.

Mohd Uzir dan isteri, Datin Seri Suhana Tahir adalah antara jemaah yang tiba di Madinah menerusi penerbangan awal untuk menunaikan haji pada tahun ini.

Mohd Sukki
Mohd Sukki

Sementara itu, seorang lagi jemaah, pensyarah Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohd Sukki Othman berkata, jemaah yang sedang berada di tanah air dan akan berangkat dalam masa terdekat masih mempunyai masa untuk membuat persediaan.

"Masih belum terlewat, tengok balik ilmu-ilmu kursus serta bersedia dari segi fizikal supaya apabila sampai di sini supaya jemaah tidak terpinga-pinga.

Masturah
Masturah

Sementara itu, seorang guru, Masturah Zainal, 44, amat bersyukur kerana impiannya untuk menunaikan haji hampir tercapai.

Ujar Masturah, beliau menabung sejak dari kecil menerusi akaun Tabung Haji.

"Masa itu saya tengok datuk dan nenek pergi haji...saya memang berhasrat sangat nak pergi haji. Jadi saya menabung guna duit raya, memang tak nak belanja, sanggup simpan," katanya.

Secara keseluruhan sebanyak 98 penerbangan membawa 31,600 bakal haji bertolak secara berperingkat sama ada ke Madinah atau Makkah, dengan penerbangan terakhir musim haji kali ini pada 21 Jun depan.